Model terkenal Bella Hadid cukup terkesan dengan dasar Donald Trump yang mengenakan larangan terhadap pendatang Islam dari beberapa negara.
Bella Hadid
Adik model popular Gigi Hadid turut menyertai bantahan terhadap presiden Amerika Syarikat di New York pada Februari lalu kerana mereka juga daripada keluarga pelarian.
“Ayah saya seorang pelarian ketika datang ke Amerika, jadi isu ini sebenarnya sangat dekat dengan adik-beradik kami,” katanya kepada majalah Porter.
Bella, 20, dan kakaknya, 21, anak pelakon Yolanda Hadid dan saudagar hartanah Mohamed Hadid yang berhijrah ke negara itu pada usia lelaki itu 14 tahun.
“Ayah selalu taat beragama dan dia selalu bersembahyang dengan kami. Saya bangga menjadi seorang Muslim,” katanya seperti dilaporkan portal New York Magazine.
Mohamed, 68, dilahirkan di Nazareth, Israel dan tinggal di Syria dan Lubnan sebelum keluarganya datang ke Amerika. Hartawan itu dilaporkan memiliki kekayaan US$200 juta (RM886.3 juta).
Isabella Khair “Bella” Hadid dan kakaknya Jelena Noura “Gigi” Hadid membantah dasar kontroversi Trump, yang diperkenal Januari lalu, kerana percaya manusia itu sama rata.
“Saya datang daripada latar belakang yang pelbagai. Saya melalui pelbagai pengalaman di seluruh dunia… dan saya mempelajari kita semua ini hanya manusia biasa, kita semua berhak dihormati dan disantuni.
“Kita tidak boleh layan orang lain seolah-olah mereka tidak layak disantuni semata-mata kerana latar belakang etnik mereka. Itu tidak betul,” katanya kepada majalah Elle selepas bantahan itu.
Sumber: Projek MMO
Sumber Model terkenal Bella Hadid bangga jadi Muslim, bantah Donald Trump