Murid tahun 3 terkejut menang kereta Peugeot 408 dalam cabutan bertuah

Seorang murid Tahun Tiga tidak menyangka penyertaan dalam Perlis Marathon 2017 membawa tuah apabila berjaya membawa pulang sebuah kereta Peugeot 408 tajaan Naza di Stadium Syed Putra Jamalullail, di sini, pagi tadi.

Muhammad Farhan Hakimi Mohamad Nor, mengakui terkejut apabila nombor penyertaannya bagi acara lima kilometer junior lelaki diumum sebagai nombor cabutan bertuah utama program berkenaan.

“Saya tahu cabutan bertuah hari ini akan memperoleh kereta tetapi tidak sangka pula saya yang akan dapat.

“Ini kali pertama saya menyertai…syukur Alhamdulillah…saya mahu abang memandu kereta ini nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Anak kepada tukang jahit berasal dari Kodiang, Kedah ini berkata, beliau tidak berhasrat menjual kereta itu dan mahu memandunya apabila dewasa kelak.

Cabutan bertuah dan penyerahan kereta bernilai lebih RM100,000 itu disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada program anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu.

Sementara itu, penganjuran Perlis Marathon yang masuk tahun ketiga ini menyaksikan bilangan peserta makin bertambah dari edisi sebelum ini.

Edisi kali ini seramai 12,500 peserta dalam dan luar negara menyertai berbanding 7,653 pada 2016 dan 4,000 pada 2015.

Marathon Perlis adalah sebahagian acara kerajaan negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke-74.

 

Sumber: BH Online



Sumber Murid tahun 3 terkejut menang kereta Peugeot 408 dalam cabutan bertuah

Post a Comment

Previous Post Next Post