Najib Razak tuntut penjawat awam supaya setia kepada kerajaan

Datuk Seri Najib Razak menuntut kesetiaan dalam kalangan penjawat awam bagi membolehkan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berjaya.

Najib Razak tuntut penjawat awam supaya setia kepada kerajaan

Najib Razak tuntut penjawat awam supaya setia kepada kerajaan

Perdana Menteri berkata, prinsip kesetiaan penting dan wajib kerana penjawat awam sudah mengangkat sumpah menyokong kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Maka dengan itu, wajib bagi kita (penjawat awam) mendokong dan setia kepada kerajaan sedia ada, selain mempunyai semangat kebersatuan sesama kita, dalam erti kata lain berada dalam satu keluarga menuju ke arah satu matlamat.

“Budaya melaga-lagakan sesama kita perlu dielak dan dihapuskan. Sejarah sudah membuktikan budaya seperti ini boleh meruntuhkan negara seperti mana berlaku antara Tun Mutahir dan keluarga Tun Perak yang menyebabkan runtuhnya empayar Kesultanan Melayu Melaka pada ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

NAJIB menerima cenderamata daripada Idris (dua dari kiri) pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Melaka, di Ayer Keroh, hari ini. – Foto Khairunisah Lokman

Majlis disertai kira-kira 10,000 penjawat awam itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Naim Abu Bakar.

Najib berkata, kerajaan mempunyai impian yang besar untuk negara dan ia mampu dilaksanakan apabila penjawat awam menjadi penyampai yang baik dan berkesan kepada rakyat.

“Sebab itu saya tekankan sistem penyampaian dalam kalangan penjawat awam itu penting bagi membolehkan setiap perancangan besar yang dirangka kerajaan untuk negara menjadi kenyataan.

“Antara perancangannya, termasuk projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang pastinya akan melalui Melaka seperti mana yang diminta oleh Datuk Seri Idris untuk rakyat negeri ini,” katanya.

KIRA-KIRA 10,000 penjawat awam mendengar ucapan aluan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Melaka di MITC, hari ini. – Foto BERNAMA
Sumber: Bharian


Sumber Najib Razak tuntut penjawat awam supaya setia kepada kerajaan

Post a Comment

Previous Post Next Post