Orang ramai diminta henti sebar berita tentang Allahyarham Thaqif

Orang ramai diminta menghentikan penyebaran dan menularkan  pelbagai bentuk berita mengenai pelajar tahfiz di Kota Tinggi, Johor Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi serta merta kerana kes pelajar itu masih dalam siasatan.

Thaqif

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata berita yang disebarkan di media sosial kebanyakan bukan dari sumber berita yang sahih dan dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai berita palsu dan fitnah.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, biarlah pihak yang berwajib melakukan siasatan yang terperinci terhadap kes ini…tunggulah kenyataan dikeluarkan oleh pihak yang terlibat dalam kes ini, jangan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2017, di Menara Kuala Lumpur, hari ini.

Pertandingan Memasak Bubur Lambuk itu adalah anjuran Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Baru dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Mohamad Thaqif, 11, meninggal dunia pada Rabu lepas di Hospital Sultan Ibrahim Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 19 April untuk dirawat selepas kakinya cedera setelah dipercayai dipukul oleh pembantu warden di sekolah tahfiz di mana arwah belajar.

Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku pada hari sama dia meninggal dunia, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilapor tidak stabil. – Bernama

 Sumber: Sinar Harian


Sumber Orang ramai diminta henti sebar berita tentang Allahyarham Thaqif

Post a Comment

Previous Post Next Post