Pelumba kelahiran Terengganu itu memuat naik dua gambarnya sedang tidur lena bersama pingat emas acara keirin yang dimenangi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong semalam.

Gambar yang diiringi dengan keterangan “Tolong jangan kejutkan saya dari tidur” menerima pelbagai reaksi daripada netizen, yang tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada pelumba bertubuh kecil itu.

Ini adalah kejayaan terbesar buat Azizulhasni, 29, dalam kariernya, dan kemenangan itu hadir lapan bulan selepas dia melakar sejarah muncul pelumba basikal pertama Malaysia meraih pingat gangsa dalam Sukan Olimpik di Rio.

Semalam, Azizulhasni melakar kemenangan dengan penuh dramatik apabila mengetepikan pelumba No. 2 dan 1 dunia, Fabian Puerta dari Colombia serta Tomas Babek dari Republik Czech dalam perlumbaan akhir di Velodrom Hong Kong.

Kejayaan tersebut hadir selepas dia berdepan detik cemas pada pusingan kedua apabila gagal melepasi saingan setelah sekadar menamatkan perlumbaan di tangga keempat. Hanya tiga pelumba terbaik layak berentap di final.

Rezeki bagaimanapun jelas milik ‘The Pocket Rocketman’ apabila dia dihadiahkan tiket final selepas pelumba Jerman, Joachim Eilers yang menduduki tangga ketiga dibatalkan penyertaan kerana melakukan hadangan terhadap pelumba negara itu.

“Saya hanya menjerit, melihat papan markah dan kemudian melihat nama saya di tempat pertama.

“Saya bagaikan tidak percaya. Saya sudah mencuba sejak 10 tahun lalu. Akhirnya masa saya tiba jua untuk bergelar juara dunia.

“Saya sentiasa mencuba dan tidak pernah berputus asa…hari ini adalah hari saya selepas 10 tahun,” katanya selepas kemenangan itu.

Hasrat Azizulhasni untuk menambah koleksi kemenangan dalam acara pecut bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia kandas seawal pusingan pertama hari ini selepas tumpas kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Hugo Barrette dari Kanada pada saringan keenam.

Sumber: UTUSAN ONLINE