Warga asing dari 38 negara ‘berhutang’ dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebanyak RM7.87 juta dalam bentuk bil perubatan yang belum dibayar sejak 2012.
Pada tahun lepas sahaja, hospital awam terbesar dalam negara ini mencatatkan kerugian sebanyak RM3 juta susulan kegagalan golongan tersebut melunaskan bil perubatan mereka.
HKL mendedahkan angka itu merupakan sebahagian daripada RM50.5 juta bil perubatan yang belum dibayar di semua hospital kerajaan pada tahun lepas.
Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah hutang pesakit warga asing itu mewakili hampir satu perlima daripada keseluruhan bil yang dikenakan terhadap mereka oleh hospital kerajaan.
Tegas HKL, warga asing dari negara Indonesia disusuli Myanmar, Bangladesh, India dan Nepal antara lima kumpulan yang secara konsisten gagal melunaskan pembayaran bil perubatan mereka dengan hospital tersebut sejak 2012 hingga 2016.
Terdapat juga warga asing dari negara Dunia Pertama seperti Jerman, Finland, Singapura, Sweden, Jepun dan Amerika Syarikat tetapi angka itu lebih kecil.
“Kami cuba melakukan yang terbaik selain menghantar surat kepada kedutaan masing-masing meminta hutang tersebut diselesaikan.
“Namun hanya 5% hingga 10% bil rawatan yang belum dijelaskan itu berjaya dikutip,” katanya dalam satu jawapan bertulis kepada The Star.
Antara sebab kegagalan pembayaran itu adalah pesakit tidak mempunyai waris, tidak bekerja, bekerja sendiri dan tidak mempunyai majikan.
Antara sebab lain adalah pesakit itu tiada tempat bergantung akibat penyakit mental, kekurangan kerjasama daripada kedutaan, pesakit melarikan diri dari hospital, penyakit pesakit tidak dilindungi insurans dan majikan lepas tangan.
“Jika pesakit tinggal lama di wad dan perlu menjalani pembedahan, dialisis atau rawatan implan atau perlu dirawat akibat batuk kering, kos rawatan akan naik mendadak,” kata HKL.
Sementara itu, kementerian turut mendedahkan RM50.5 juta kos rawatan yang belum dibayar itu mendorong pihak berkuasa menuntut wang deposit lebih tinggi daripada warga asing semasa mereka menerima rawatan di hospital kerajaan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata seramai 1.36 juta pesakit warga asing menerima rawatan di hospital kerajaan pada tahun lalu dengan jumlah kos rawatan mencecah RM269.89 juta dan 23, 595 daripada mereka masih berhutang sebanyak RM50.5 juta.
“Kebanyakan warga asing gagal membayar kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup dengan ada di antara mereka enggan membayar kos rawatan itu.
“Mereka terdiri daripada pekerja tanpa izin yang tidak mempunyai insurans perubatan yang sepatutnya wajib ada pada semua pekerja asing yang sah,” katanya.
Semua pekerja asing yang didaftarkan di Malaysia perlu mempunyai Skim Insurans Pekerja Asing (Spikpa).
Premium bagi Spikpa adalah RM120 seorang untuk tempoh setahun dan mereka akan mendapat perlindungan sehingga RM20,000.
Pelarian berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) digalakkan untuk mendapatkan Insurans Perubatan Pelarian (Remedi).
Dengan premium sebanyak RM165 (individu) atau RM207 (keluarga) setahun, pemegang polisi layak mendapat perlindungan sehingga RM10,000.
Ditanya mengenai golongan yang cenderung untuk berhutang dan gagal membayar bil perubatan, Dr Chen berkata kementerian tidak menyimpan maklumat mengenai pesakit warga asing berdasarkan kewarganegaraan mereka.
“Terdapat keadaan di mana hospital menghubungi kedutaan mengenai kos rawatan yang gagal dibayar oleh rakyat mereka dan kedutaan membantu menghubungi pesakit dan keluarga mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Namun ini adalah atas dasar kes demi kes jika pesakit gagal dihubungi,” katanya.
Mengenai sama ada kementerian berjaya mendapatkan semula bayaran tersebut, Dr Chen berkata kementerian akan cuba bertindak sewajarnya mengikut Garis Panduan untuk Mengurangkan Tunggakan Pesakit Luar, misalnya pesakit membayar deposit semasa pendaftaran.
Pada Sabtu lalu, The Star melaporkan warga asing kini perlu membayar deposit lebih tinggi sebanyak 230% untuk rawatan di wad dan pembedahan dalam usaha mengurangkan subsidi perubatan bagi golongan itu.
Dr Chen berkata kementerian turut berusaha menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik secara berterusan kepada orang ramai tanpa mengira taraf kerakyatan mereka.
“Kementerian prihatin tentang masalah tunggakan bil perubatan kerana ia akan memberi kesan kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan.
“Oleh itu terdapat keperluan untuk menaikkan kadar deposit untuk warga asing selaras dengan kenaikan caj rawatan pada 2016,” katanya.
Sumber: Mstar
Sumber Warga asing tak bayar bil Hospital Kerajaan , berhutang RM50.5 juta