Tiga terbunuh sementara dua yang lain cedera apabila sebuah kereta api ekspres merempuh sebuah rumah selepas tergelincir berhampiran bandar Thessaloniki.
Syarikat kereta api Trainose pada mulanya melaporkan empat kematian akibat kemalangan yang berlaku jam 4.40 petang (waktu tempatan) Sabtu lalu, dengan lima orang mengalami kecederaan serius.
Identiti mangsa belum dikenal pasti, tetapi pemandu kereta api berkenaan antara yang cedera selepas lima gerabak kereta api ekspres yang dalam perjalanan dari Athens tergelincir daripada landasan dan merempuh sebuah rumah.
Seramai 70 penumpang selamat dipindahkan dalam tempoh tiga jam selepas kemalangan berlaku berhampiran stesen di Adendro, kira-kira 40 kilometer dari Thessaloniki.
Punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan akan dijalankan.
Bagaimanapun, seorang pegawai serantau Voula Patoulidou berkata, kereta api itu mungkin bergerak terlalu laju dalam perjalanan antara dua bandar terbesar Greece itu.
Seorang lelaki berusia 24 tahun yang rumahnya dirempuh itu memberitahu wartawan dia sempat menyelamatkan diri dengan melompat dari balkoni sebelum pelanggaran berlaku. – AFP
Sumber: Metro
Sumber Kereta api ekspres rempuh rumah, tiga maut