“Nabi Dulu Lagi Teruk Kena, Tak Ada Pun Kena Depression”

Baru-baru ini saya terbaca confession tentang depression dan bagaimana penulis mengaitkan depression itu ada kaitan dengan sikap introvert. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai apa itu introvert, tetapi saya sedikit kesal dengan nada penulis yang prejudis terhadap mental illness dengan beberapa tohmahan yang tidak benar.

Apa itu depression?

Depression secara ringkasnya ialah apabila seseorang itu mengalami kemurungan, berasa kosong dan rasa hopeless berterusan melebihi dua minggu. Petanda-petanda fizikal lain ialah pesakit akan develop sakit sendi dan belakang, sakit kepala yang kerap, insomnia atau hypersomnia, selera makan tidak teratur atau hilang, berat badan meningkat mendadak atau menurun mendadak. Emosi pesakit pula tidak stabil, mudah marah atau sedih, sukar hendak buat keputusan, lebih suka menyendiri dan bermenung, kerap menangis, dan semakin lama kesedihan itu akan terus ada walaupun tiada apa yang menyedihkan berlaku.

Seorang introvert walaupun suka menyendiri pada sesetengah masa, ia adalah pilihan introvert sendiri kerana mereka gembira dan senang dengan keadaan begitu. Introvert bukan antisosial, tetapi lebih kepada selectively social. Sedangkan orang yang mengalami depresi mengurung diri menyendiri, bersikap anti-sosial kerana kemurungan yang dihadapi, dan berada di luar kepada masyarakat menjadikan dia boleh mendapat anxiety yang teruk, sesak dan menekan.

Depresi yang berterusan tanpa bantuan sewajarnya akan cenderung menjadi Major Depressive Disorder (MDD) atau juga dipanggil clinical depression. Di tahap ini, keadaan pesakit menjadi semakin teruk. Badan sentiasa terasa letih yang amat dan badan akan rasa sakit-sakit, selalu sakit perut setiap kali rasa tertekan (digestive problem), rasa murung, sedih, cemas, takut semua bersatu dan berkecamuk melanda sepanjang hari, sesetengahnya turut mengalami anxiety disorder, sukar hendak fokus dan semakin susah hendak mengingati sesuatu, insomnia atau hypersomnia semain teruk, kalau tidur pun rasa seperti seakan-akan tak tidur (restless).

Bagi penghidap MDD, apa sahaja aktiviti yang bisa membuatkan dia gembira atau hilangkan stress, tidak lagi menjadikan dia gembira apabila dia mengidap MDD tanpa rawatan. Main game, bersukan, bersosial, tengok tv, namakan apa sahaja, semua itu seolah-olah seperti satu beban besar dan tiada apa yang menggembirakan. Perasaan ketika itu, self-blaming yang amat tinggi, rasa tidak berguna yang amat, rasa macam nak termenung seharian meratap diri sendiri je. Pesakit MDD akan mula ada suicidal thoughts. Dia bukan kau saja-saja nak fikir bunuh diri, tetapi dia macam lintasan fikiran “langgar kereta tu”, “kelarlah tangan kau”, “hantuk kepala”, “tumbuk dinding kuat-kuat”, dan lintasan-lintasan ini akan jadi ‘semakin bising’ dan ‘memekak’ dalam fikiran kau – jika tidak dibantu, pesakit boleh jadi lebih teruk dengan ada halusinasi visual atau auditori.

Ada banyak lagi jenis mental illness seperti bipolar dan sebagainya, tetapi saya ingin menyentuh tentang depresi sahaja kerana saya sendiri pernah mengalaminya.

Saya masih ingat ketika itu seawal Februari, saya mengambil keputusan untuk ke Klinik Kesihatan UM apabila saya mula merasakan yang fikiran saya semakin kerap ada suicidal thoughts lalu kemudian dirujuk ke Pusat Psikiatri PPUM. Hasil pertemuan dengan doktor, beliau mengesahkan saya ada MDD dan sebenarnya saya sudah ada depresi lebih lama dari itu, cuma saya lambat menyedarinya kerana kesedaran kita atau awareness kita terhadap mental illness sangat kurang.

Depression tak kan jadi kalau percaya Tuhan?

Alhamdulillah saya datang dari sekolah berlatar belakang agama. Saya kemudian menyambung pengajian di Akademi Pengajian Islam. Ya, saya ikut usrah sudah lama, ia tidak asing bagi saya. Dan saya juga selalu bersosial dengan kawan-kawan, ada masa saya extrovert ada masa saya introvert. Tetapi saya tetap mengalami MDD.

Housemate saya menjadi saksi betapa hampir setiap hari saya menangis sendiri setiap kali hendak tidur, setiap kali selepas solat, kadang-kadang teresak-esak semasa makan. Usrahmate saya menjadi saksi saya yang selalu menung jauh tidak mampu fokus dalam usrah, kadang-kadang bergenang menahan air mata. Terlalu sedih, saya akan mengurung diri di dalam bilik dan menangis sepuas-puasnya sampai saya letih nak menangis. Tetapi dia tetap tak dapat nak membuang kesedihan dan kesakitan di dada. Kadang-kadang apabila terlalu sakit, nafas saya jadi tak teratur dan sesak. Kadang-kadang apabila saya naik skuter, minda saya selalu ada lintasan hendak meng-accident-kan diri, kadang-kadang saya sengaja bawa motor laju-laju supaya boleh tidak sengaja accident.

Allah tempat mengadu, ya. Hampir setiap masa saya menangis, merintih, mungkin ada ketika meraung sebab tak tahan dengan depresi yang saya alami. Setiap kali sujud menangis, berdoa. Setiap kali solat sendiri saya doa lama, menangis lagi. Saya tahu ketika itu, sahabat-sahabat saya sendiri sukar hendak memahami saya, dan saya pun sukar hendak menjelaskan. Saya betul-betul rasa saya cuma ada Allah sahaja sampai saya tak tahu dah nak bergantung kat siapa lagi, kebuntuan sampai saya tak nampak jalan keluar. Dan depresi itu tetap dihidapi saya.

Dalam ketika itu, saya tak menafikan ada yang berkata pada saya begini;

“Tak cukup bergantung pada Allah”
“Tanda iman tak cukup kuat”
“Patutnya awak lagi tahu amalkan al-Quran zikir tu semua yang bagi tenang”

Demikian stigma yang saya kena hadapi. Depression ialah penyakit yang dihidapi menyebabkan gangguan pada kesihatan emosi dan fizikal seseorang, melibatkan perubahan hormon yang menjadikan organ kita yang bernama otak tidak mampu berfungsi seperti manusia lain yang sihat kondisi otaknya. Ia bukan sekadar, alah itu kau je yang fikir negatif, kau ni cepat sangat putus asa, kau ni mengada-ngada, orang lain pun stress jugak tapi boleh je takkan kau tak boleh, yada yada.

Sampai ada yang dilabel tidak kuat iman, tak jaga hubungan dengan Allah, tak tahan ujian dan mengada-ngada, ada yang siap memetik sirah kemudian cakap “nabi dulu lagi teruk kena, tak ada pun kena depression”, atau nampak je beriman tapi dalam tak, dan seumpama dengannya.

Stigma beginilah yang menyebabkan ramai orang yang sebenarnya mengalami simptom awal depresi, menjadi semakin teruk kerana takut didiskriminasi jika jumpa doktor, takut dilabel dan dihukum, takut dicemuh dan sebagainya, oleh masyarakat yang cepat benar menghukum sebelum berempati. Masyarakat kita yang sangat kurang mental health awareness.

Ramai yang menyamakan depresi dengan kesedihan dan stress seperti yang biasa dialami, tetapi ia sebenarnya tidak. Stigma ini menjadikan ramai antara kita yang mudah mengatakan dialog-dialog yang menghukum, mendiskriminasi.

Andai kata ada orang disahkan mengidap darah tinggi. Kita tak boleh kata; “Eh move on lahh,” pada orang tu. Ya, kita pun tahu ianya pelik dan merepek nak suruh orang move on dari darah tinggi?

Sama juga dengan penyakit mental yang memerlukan rawatan. Pesakit yang mengalami ketidakstabilan pada emosi dan rasional, tidak berfungsi dengan sihat sepertimana orang yang sihat, mereka tidak akan sihat dengan kita mengatakan “eh move on lah,” “itu kau je yang fikir negatif sangat” dan sebagainya

Sehinggakan ada yang tergamak kata; “Kau ni tak ingat Tuhan sebab tu jadi macam itu,”

Bukan, bukan begitu caranya. Sepatutnya kita katakan padanya kata-kata yang menunjukkan Islam itu rahmah, kata-kata seorang daie itu rahmah, menenangkan dan membantu mereka yang mengalami MDD. Bukan menghukum, tidak peduli, ignorant.

Ya saya tidak menafikan pendekatan rohani itu membantu, tetapi ia tidak membantu jika sikap kita tidak meletakkan empati itu tiada, rahmah pada kata-kata kita hilang, hikmah pada perbuatan kita tercabut.

Orang yang mengalami MDD akan mengalami kesukaran hendak meluahkan, menceritakan. Berikan masa dan beradalah di sisi pesakit itu supaya mereka tahu, mereka bukan keseorangan, dan ada orang yang memahaminya. Supaya pesakit itu boleh dibantu, dan merasakan ada harapan dalam hidup mereka. Bukan dimarahi, kemudian diabaikan.

Lari daripada masalah?

Pesakit MDD itu pada asalnya mereka ialah orang yang persistent mahu overcome masalah mereka, in the first place. Ya mereka stress, semua orang stress, tetapi tiada siapa yang pilih untuk depressed. Tiada sesiapa yang pilih untuk menjadi sakit.

Pesakit MDD boleh jadi develop kecenderungan mahu lari daripada masalah, kerana masalah itu dirasakan terlalu memberi tekanan kepada mereka hingga mengalami mood disorder sehingga depression. Saya sendiri ketika mengalami depression, usrah, daurah, aktiviti luar, saya anggap sebagai escapism untuk saya lari sebentar dari dunia yang menyesakkan, dengan harapan saya kembali kuat menghadapi, tetapi saya tetap depressed dan mengurung diri menangis, kadang-kala saya sengaja ponteng kelas, dan ketika itu sebenarnya orang seperti saya ini perlu dibantu dengan berjumpa doktor, dapatkan konsultasi, mungkin perlukan ubat-ubatan, dan suasana yang orang sekeliling merasa empati dan memberi sokongan. Ia bukan pilihan kami menjadi tidak rasional sebegitu.

Bukan tohmahan ‘lari dari masalah’ yang saya perlu, tetapi ialah empati dan agar saya dibantu.

Major Depressive Disorder Survivor.

Saya alhamdulillah, berjaya mengharungi episod hitam yang menyelubungi hari-hari seperti itu. Saya berdiri hari ini kerana sahabat-sahabat saya yang tidak pernah mendiskriminasikan saya, tidak pernah memandang serong pada saya, membantu saya.

Sahabat saya yang sanggup menemani saya pergi jumpa doktor psikiatri. Sahabat saya yang selalu memberikan kata-kata sokongan dan tidak pernah menyisihkan saya. Sahabat saya yang mendoakan saya, bukan menghina saya. Sahabat seusrah, juga murobbi yang selalu mengambil berat.

Dan seharusnya, orang yang join usrah, ialah orang yang lebih menyantuni insan lain, bukan menghukum sesiapa. Membantu dan menyebarkan rahmah, bukan meminggir.

Kepada yang membaca ini, semoga kita semua lebih terbuka kepada isu mental illness dan tidak prejudis terhadap pengidap penyakit ini.

Kepada kalian yang mengalami depression, saya ingin katakan, yakinlah, Tuhan sentiasa ada dan mendengar luahan dan remuk redam kita, dan percaya, satu hari Dia akan mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya. Amiin.

Syahira Hozami

#ImNotAshamed



Sumber “Nabi Dulu Lagi Teruk Kena, Tak Ada Pun Kena Depression”

Post a Comment

Previous Post Next Post