TAK ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba sahaja ada cerita kurang molek timbul membabitkan penyanyi rap popular SonaOne.
Kononnya, kebelakangan ini, penyanyi berusia 29 tahun yang mempunyai darah kacukan Melayu-Perancis ini sedang berseteru dengan penyanyi rap legenda tanah air, Joe Flizzow.
Entah apa masalahnya, SonaOne didakwa sudah lama tidak berbicara dengan Joe, yang juga merupakan mentornya dalam dunia hiburan rap dan hip hip. Hal itu kononnya begitu ketara ketika dia berada dalam sebuah majlis anugerah baru-baru ini.
Di majlis berkenaan, Joe turut kelihatan kerana dijemput sebagai penyanyi undangan di pentas yang sama SonaOne beraksi dengan penyanyi lain.
Ada yang menyampaikan cerita bahawa SonaOne meski berada dekat dengan Joe di belakang pentas, masing-masing tidak bertegur sapa. Keadaan kekok itu disaksikan oleh kru-kru yang bertugas pada majlis anugerah berkenaan sehingga ramai yang menganggap ia umpama satu isyarat bahawa kedua-duanya punya isu antara satu sama lain.
Kebetulan berpeluang duduk berbual dengan SonaOne dalam satu sesi fotografi, Pancaindera mengajukan pertanyaan ini kepada empunya diri yang ternyata menerimanya dengan reaksi terkejut.
Berikut ialah komen dan penjelasan yang diberikan oleh pelantun lagu No More dan Firefly ini yang mahu mengelak adanya jurang salah faham dengan semua pihak.
Ada yang kata, Sona kelihatan tidak begitu baik dengan mentor awak sendiri, Joe, apa kes?
Saya tak tahu mana datangnya cerita macam ini. Hairan juga kerana setahu saya, antara saya dengan Joe, kami masing-masing okay dan tidak ada masalah.
Ada banyak mata yang melihat Sona saling tak bertegur-sapa dengan Joe ketika berada di ruang yang sama di belakang pentas. Macam mana pula tu?
Betul, antara kami tiada masalah. Tempoh hari, saya tahu Joe pun tak cukup tidur pada waktu itu. Memang kami tak bertegur-sapa ketika itu dan saya pun tak nak ganggu dia. Jadi mungkin disebabkan itu maka orang yang ternampak insiden kononnya kami tak bertegur tu menganggap yang kami ni macam ada masalah. Tak dinafikan, secara jujurnya saya rasa menarik juga cerita macam ini keluar dan rasanya sepanjang saya membina karier dalam industri muzik tempatan, inilah kali pertama saya dikaitkan dengan cerita seperti ini. Harus saya akui, terkejut juga sebab tak pernah ada orang tanya macam ni. Tetapi berbalik kepada isu saya bermusuh dengan Joe, itu semua cerita bohong saja tu. Kami berdua dah macam keluarga, ibarat hubungan antara abang dan adik. Tak ada sebab untuk kami saling bermusuh.
Atau awak sengaja menyembunyikan hal sebenar mengenai hubungan dingin dengan Joe?
Sebenarnya, sejak setahun yang lepas, saya memang sangat sibuk dan hal yang sama juga berlaku pada Joe dan saya mengaku kami dah tak berjumpa selalu macam dulu yang mana sering juga kami lepak bersama. Bukan sebab tak ‘ngam’ atau apa. Lagipun saya tahu Joe dalam masa yang sama sibuk dengan aktiviti kecergasannya, dia nak bina stamina semula dan selalu berada di gymnasium dan begitu menjaga makan minumnya. Saya tengok dia dah banyak turunkan berat badan dan terbalik pula dengan saya, makin berisi. Kagum juga saya dengan kesungguhan Joe tu. Tentang hubungan dingin, saya tak ada apa nak komen sangat sebab kami memang sibuk. Itu saja. Itu pun tak bermaksud kami langsung tidak berkomunikasi. Mustahil perkara itu untuk berlaku kerana saya dengan Joe pun sedang bersama-sama nak kolaborasi hasilkan lagu untuk albumnya yang baru.
Kita tahu dalam ruang industri muzik rap dan hip hop, kadangkala ada sentimen sesama sendiri. Sentimen itu antara Sona dan Joe yang kemudiannya membawa kepada ‘perang dingin’ ini, mengaku?
Dalam hal ini ada dua aspek. Kita faham dalam budaya hip hop dan rap, perasaan ego adalah amat penting yang membantu hala tuju karya lirik yang dihasilkan bagi seseorang penyanyi rap itu. Tetapi tolong lihat ia dari sudut persaingan yang sihat, Jangan fikir atau lihat ia dari sudut kebencian atau perasaan hendak menjatuhkan orang. Itu salah. Tetapi, kadang-kadang, realitinya ada orang yang dengki atau rasa tak puas hati terhadap seseorang penyanyi lain, dia tulis di dalam lirik lagu yang kemudiannya mencerminkan keburukan penyanyi tersebut. Tetapi bagi Sona, saya cuma gembira untuk melihat industri hip hop kita walaupun kecil, tetapi saling menyokong antara satu sama lain. Sekarang pun dah ramai artis baru dan muda-muda dan itu satu petanda yang baik dalam ruang muzik hip hop kita. Saya sendiri nak tengok kawan-kawan saya ni naik dan adakala boleh terasa sedih kenapa ada yang tak boleh nak bagi peluang pada mereka. Tak ada isu atau sentimen antara kami, jangan risau, terutama antara saya dengan Joe. Industri ni kecil saja.
Apa komen Sona andai dikatakan benda ini berlaku kerana ada pihak yang mahu cuba melagakan awak dengan Joe?
Ya tak dinafikan, tetapi kalau mereka ada agenda seperti itu saya anggap ia sesuatu yang tak baguslah. Iyalah, kenapa nak lagakan kami pula bukan sedangkan kami masih berhubungan baik dan kami masing-masing pun sedang berusaha untuk mencari pendapatan dalam ruang seni yang sama. Kalau nak cari pasal atau nak buat cerita, saya sarankan tak payahlah sebut pasal kami. Pergilah cari orang lain. Saya tak mahu sebarkan kebencian kecuali rasa kasih sayang sahaja. Lagipun sebelum saya menerbitkan sebarang lagu, saya tentunya akan minta pandangan dan merujuk kepada Joe terlebih dahulu sebab dia mentor saya. Bagi saya, Joe memiliki perspektif yang lebih baik daripada saya dan dia juga lebih senior jadi kerana itu saya rasa untuk apa nak bermusuh dengan dia. Eh tapi betul juga ya, apa salahnya kami pura-pura ada masalah bukan? Biar jadi hangat sikit! Hahahaha!
Sumber: Utusan
Sumber Perang dingin dan tak bertegur sapa dengan Joe Flizzow? Ini jawapan SonaOne