Sebut saja nama komposer dan penulis lirik, LY dan Baiduri, tentu lagu berhantu ciptaan mereka terus menerobos dalam jiwa.
Antaranya Aku Cinta Padamu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza, Rahsia Pohon Cemara (Exists), Mengapa (Nicky Astria) dan Bahagiamu Deritaku (Hafiz Suip).
Namun, tidak ramai yang tahu mengenai kisah menarik sambutan Aidilftri pasangan ini.
Walaupun tidak banyak bezanya berbanding keluarga lain, ada keunikannya.
LY pernah anyam lebih 700 biji ketupat
Siapa kata lelaki tidak boleh menganyam ketupat?
LY membuktikan dia juga mampu menganyam ketupat dan sehingga kini menjadi kepakarannya.
“Ketika zaman remaja, saya pernah hasilkan sehingga 700 biji ketupat setiap kali menjelang Aidilfitri. Sekarang apabila sudah berkeluarga, jumlahnya sekadar 150 saja.
“Itu salah satu elemen penting dalam sambutan Aidilfitri memandangkan ia juga antara makanan kegemaran saya,” katanya.
Sambutan Aidilfitri mereka juga semakin meriah dengan kehadiran dua cucu.
“Apabila sudah ada cucu, menjadi tugas saya untuk membawa mereka melalui dan merasai sendiri suasana Aidilfitri,” katanya.
Bercerita mengenai kenangan Aidilftri, ada memori yang mencuit hati dilaluinya ketika zaman kanak-kanak.
“Satu ketika dulu, pada malam raya, saya bersama abang akan keluar bermain mercun.
“Nak dijadikan cerita, ketika saya membaling mercun ia tersasar dan masuk ke dalam rambut ‘afro’ jiran yang kebetulan lalu di kawasan itu.
“Bayangkan mercun itu meletup dalam rambutnya. Hingga sekarang saya masih dibuai rasa bersalah,” katanya.
Baiduri terkenang zaman anak masih kecil
Jika suaminya pakar dalam menganyam ketupat, Baiduri pula pakar menghasilkan kuah kacang untuk melengkapkan menu juadah Aidilfitri.
“Sekarang saya akan mengambil alih tugas memasak sementara suami akan ke pasar dan menyediakan perkakas memasak,” katanya.
Ditanya mengenai nostalgia Aidilfitri buatnya, Baiduri mengakui sentiasa terkenangkan zaman anaknya masih kecil.
“Pada waktu itu, sambutannya berbeza berbanding sekarang. Perasaannya juga sangat berbeza dan itu sentiasa menjadi kenangan buat saya secara peribadi,” katanya.
Setiap kali Aidilfitri juga, Baiduri akan terkenangkan insiden membabitkan bunga api dan anak sulungnya.
“Waktu itu, dia berusia lima tahun dan suka bermain bunga api. Hendak dijadikan cerita, selepas bermain, dia pegang bahagian yang masih panas dan tangannya melecur.
“Sudahlah pada waktu itu semua sedang sibuk dengan persiapan kerana sudah malam raya, kami sekeluarga kena uruskan tangan dia yang melecur pula. Namun, itu semua menjadi kenangan,” katanya.
Via: Metro
Sumber “Tiba-tiba mercun yang dibaling masuk dalam rambut afro jiran lalu meletup, sampai sekarang rasa bersalah”