Penyanyi Aliff Aziz dan isteri, Bella Astillah dibawa keluar secara senyap dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Aliff sebelum itu ditahan di IPD Dang Wangi pagi semalam untuk siasatan berikutan dakwaan memukul Bella Astillah.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, Aliff akan dibawa ke IPD Cheras sejurus siasatan selesai dan dibebaskan atas jaminan polis.
Wartawan Utusan yang menunggu ketibaan Aliff Aziz sejak pukul 12 tengah hari hanya berjaya mengesan ketibaan isteri beliau di IPD Cheras kira-kira pukul 1.30 petang.
Wanita berusia 23 tahun itu tiba bersama anak mereka yang dilahirkan 8 Julai lalu serta ahli keluarganya.
Namun sehingga pukul 4.30 petang kelibat Allif tidak kelihatan di IPD Cheras. Sumber kemudian memaklumkan Aliff dan isteri telah dibawa keluar dari IPD Cheras menggunakan kenderaan polis.
Artis yang berasal dari Singapura itu dilaporkan memukul isterinya yang masih di dalam pantang selepas berlaku pergelutan di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras.
Difahamkan, Bella,23, telah membuat laporan polis di Balai Polis Cheras selepas mendakwa dia dipukul oleh Aliff, 26, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka dan lutut.
Sebelum kejadian, Bella yang ditemani ibunya telah pergi ke pusat hiburan tersebut selepas mendapat tahu suaminya berada di bilik karaoke bersama seorang wanita lain.
Mangsa yang berasa tidak puas hati telah memarahi suaminya serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya sebagai bukti dan kemudian Aliff merampas telefon tersebut.
Sejurus selepas memadamkan semua bukti itu, Aliff didakwa mencampak telefon bimbit tersebut ke muka isterinya yang mengakibatkan Bella mengalami luka di mulut dan di lutut.
Artis itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sumber: UTUSAN ONLINE
Sumber Aliff Aziz dan Bella dibawa keluar secara senyap dari balai polis