PELAKON popular era 1980-an Azmil Mustapha kecewa dengan tindakan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang didakwa tidak menunaikan janji selepas menggunakan kertas kerjanya mengenai penerbitan filem untuk mengutip dana.
Azmil, 64, ketika dihubungi berkata, dia bertemu dengan seorang lelaki bergelar Datuk yang juga penasihat NGO itu beberapa bulan lalu dan menyatakan hasratnya untuk menerbitkan filem berjudul Peace Be Upon You USA yang akan menjalani penggambaran di Amerika Syarikat (AS).
Sebenarnya saya tidak kenal dengannya. Kami bertemu secara tidak sengaja ketika saya sedang makan di sebuah restoran di Melaka dan dia pun berada di sana dengan keluarganya. Beliau kemudian meminta untuk bergambar dengan saya.
Kemudian dia datang lagi ketika saya memberi ceramah di sebuah masjid di sana. Pada pertemuan itu dia bertanyakan apa projek terbaru saya dan selepas diberitahu saya mahu buat filem, dia beritahu NGO berkenaan berhasrat membantu saya mencarikan dana yang saya perlukan sebanyak RM2.4 juta, katanya.
Azmil yang popular dengan filem Mekanik dan Ali Setan berkata, dia kemudian mengadakan beberapa pertemuan dengan lelaki terbabit serta ahli lembaga pengarah NGO itu di Putrajaya.
Katanya, dia kemudian menyerahkan kertas kerja mengenai filem itu kepada NGO berkenaan.
Tidak lama kemudian Azmil dimaklumkan NGO terbabit berjaya mengumpul dana sebanyak RM4 juta untuk projek filem itu.
Mereka berjaya mendapat lebih dari apa yang saya mahukan. Datuk itu berjanji untuk memasukkan sebanyak RM2.4 juta ke dalam akaun saya tetapi selepas tiga bulan menunggu, langsung tiada khabar berita, katanya.
Menurut Azmil, filem itu sepatutnya menjalani penggambaran di AS sebelum Ramadan lalu, namun tidak dapat dilakukan kerana dia tidak menerima dana yang dijanjikan itu.
Saya cuma mahukan bahagian saya yang dijanjikan itu saja. Masalahnya mereka mengutip dana itu menggunakan kertas kerja milik saya. Jika mereka tidak mahu memberi dana itu, saya akan berdepan masalah untuk mengumpul dana sendiri apabila menggunakan kertas kerja itu semula.
Saya berasa seperti dipergunakan. Tindakan mereka itu juga membuatkan saya terpaksa menanggung malu dengan kenalan di AS dan Malaysia yang sudah memberi kerjasama untuk menjayakan projek itu, katanya.
Azmil berkata, jika NGO terbabit masih tidak memberi sebarang jawapan mengenai kutipan dana itu, dia tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis.
Sumber: Harian Metro
Sumber Azmil Mustapha kecewa diberi janji palsu dan RM2.4 juta