POLIS menasihatkan orang ramai supaya berhenti menularkan mesej kononnya seorang remaja perempuan berusia 17 tahun diculik empat lelaki menaiki Proton Satria di Kampung Kubang Batang, Tumpat, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, remaja yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) lembam terbabit bukan diculik sebaliknya mengikut teman lelakinya.
“Nur Fazrein Shahira Zamri, 17, bukanlah diculik seperti yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp tetapi dia keluar minum bersama teman lelakinya.
“Remaja terbabit sudah dihantar pulang oleh teman lelakinya awal pagi semalam dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kehilangan Nur Fazrein tular di laman sosial Rabu lalu selepas dia dikatakan keluar dari rumah di Kubang Batang, untuk membeli kad tambah nilai.
Kononnya dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, dia dikatakan diheret masuk ke dalam sebuah kereta.
Nik Azlan berkata, polis sudah merakamkan percakapan remaja itu dan dia mengakui keluar minum bersama teman lelaki.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang jenayah berlaku terhadap mangsa,” katanya.
Sumber: Metro
Sumber Bukan kena culik tapi keluar minum dengan boyfriend rupanya!