KEPALA BATAS – Pas Pulau Pinang akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata, Pas negeri konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita harap mereka tarik balik (pekeliling itu). Saya harap mereka memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan di Malaysia amnya kerana soal fatwa ini adalah perkara yang tidak patut campur tangan luar berlaku. Isu ini hangat diperkatakan dan sudah lama.

“Pas Pulau Pinang konsisten mendesak… sampai setakat ini tidak ada apa-apa daripada kerajaan negeri khususnya DAP untuk memohon maaf,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang di Markas Tarbiyyah Pas Pongsu Seribu, di sini hari ini.