SUDAHLAH menyamar sebagai polis, pakai tangkal pula.
Itu yang dilakukan peniaga nasi lemak sebelum ditahan selepas ‘memeriksa’ orang awam di Dataran Merdeka, 4 pagi hari ini.
Seorang daripada orang awam yang ‘diperiksa’ lelaki itu berkata, dia didatangi lelaki berusia 20-an yang menunggang Yamaha 135 LC.
“Dia tahan saya dan jerit meminta kad pengenalan serta lesen. Bagaimanapun, apabila saya meminta menunjukkan kad kuasa, dia pergi ‘periksa’ orang lain pula.
“Saya mengesyaki sesuatu sebelum memaklumkan kejadian itu kepada dua anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Sumber berkata, anggota polis itu kemudian menahan lelaki menyamar polis itu di Dataran Merdeka dan pemeriksaan menemui tangkal yang disimpan di bawah tempat duduk motosikalnya.
“Suspek ditahan dan mendakwa tangkal yang diperbuat daripada kain dan benang selain berbau kapur barus itu bertujuan melindungi motosikal daripada kemalangan atau mengalami masalah seperti kerosakkan enjin,” katanya.
Sumber: Metro
Sumber “Dahlah menyamar, pakai tangkal pula” – Peniaga nasi lemak menyamar polis ditahan ketika sedang ‘memeriksa’ orang awam di Dataran Merdeka