DUA lelaki bermotosikal dipercayai ahli kongsi gelap membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, pada 3.30 pagi ini.
Tindakan dilakukan dipercayai berpunca rasa tidak puas hati terhadap penahanan ahli utama kumpulan kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas, baru-baru ini.
Menurut sumber-sumber, mereka pada awalnya dikesan menaiki SYM Sport Bonus dan dalam keadan mencurigakan di kawasan luar IPD itu.
Katanya, anggota di pos kawalan kemudianya cuba menghampiri mereka.
“Mereka yang menyedari kehadiran polis terus mencampak satu bom petrol mungkin sebagai tanda amaran buat polis sebelum melarikan diri.
“Bagaimanapun, tindakan terbabit tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda kerana berlaku di luar pagar berhampiran pos kawalan,” katanya.
Sumber berkata, pemeriksaan juga menemui kain rentang tertera mesej amaran membabitkan geng terbabit atas tindakan polis menahan beberapa anggota, termasuk ketua kumpulan.
“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506 kanun keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah.
Selasa lalu, 62 orang dipercayai ahli kongsi gelap termasuk beberapa pemimpin kanan ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) menerusi Operasi Cantas Khas di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Semua suspek kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sumber: Metro
Sumber Dua ahli kongsi gelap naik motor baling bom petrol ke IPD Kuala Muda dan mesej amaran atas kain rentang