Hari tu ada ke keadai gunting rambut. Sambil rambut saya dipotong, sempat sembang-sembang dengan tukang gunting.
“Awak dah kawin ke?” Saya tanya dia. Lalu dia jawab, “Belum lagi bang. Gaji saya pun tak seberapa. Nak bagi anak orang makan apa nanti. Nantilah kalau dah stabil baru fikir pasal kawin.”
Entah macam mana, tiba-tiba keluar dari mulut saya spontan, bercerita yang saya dulu kawin dengan pendapatan tak sampai RM1,000 sebulan. Lepas tamat belajar masaj di MAB Brickfields, teman wanita istimewa waktu tu yang dah pun jadi isteri saya sekarang terus pesan,
“Awak sekarang dah habis belajar. Saya tak nak buang masa. Kalau awak betul nak kan saya, saya bagi peluang 1 tahun untuk awak serius bekerja. Saya tak nak awak main-main. Lepas awak dah selesa kerja kita terus rancang untuk nikah. Saya tak harap pun pendapatan awak beribu sebulan. Pasal belanja kita boleh rancang. Kalau tak ada kita hidup cara tak ada. Yang penting kita sah nikah daripada bercinta tanpa hala tuju.”
Lepas dari tu saya nekad untuk cari kerja. Awalnya saya kerja di Up Town Danau Kota sebagai Juru Refleksologi yang mana pendapatan purata hanya 900 sebulan. Setelah setahun bekerja terus kami bertunang. Setengah tahun juga ambil masa untuk buat persediaan sebelum bernikah. Saya langsung tak dapat simpan duit. Semua isteri saya tolong. Dia pinjamkan duit simpanan dia untuk saya gunakan tanpa pengetahuan keluarga dia.
Dalam tempoh setahun awal perkahwinan kami, saya hanya mampu bayar separuh dari sewa rumah je. Separuh lagi termasuk bil elektrik dan air semua dia tolong. Masuk thun ke dua, saya dapat tawaran bekerja di Hospital Mata Tun Husin On juga sebagai juru Refleksologi. Alhamdulillah pihak majikan memberikan gaji RM1,500 sebulan.Bermula dari waktu tu saya dah dapat bayar semua bil. Tapi tetap tak mampu nak bagi nafkah makan minum dan pakaian. Isteri saya langsung tak pernah merungut.
Sikit-sikit pendapatan saya meningkat. Lepas setahun kerja di Hospital Tun Husin On, barulah saya dan Caliph Buskers mula busking. Jadi saya buat dua kerja waktu tu. Siang mengurut malam busking. Pendapatan memang selesa. Saya dah mampu bayar semua bil dan makan minum kami berdua. Tapi isteri saya kurang setuju. Katanya biarlah siang sahaja waktu bekerja. Malam waktu untuk keluarga. Akhirnya saya ambil keputusan berhenti di hospital dan fokus sebagai busker.
Setelas setahun busking barulah saya dan Caliph Buskers bertemu dengan kumpulan Mojo. Segalanya berubah lepas kami dikenali sampai sekarang. Semua duit isteri yang saya pinjam dah pun saya bayar. Sebelum ni tak mampu nak bagi duit pada Emak sekarang bolehlah bagi sikit-sikit. Hidup sebagai penghibur bukan setiap masa poket berisi. Ada musim kering juga. Tapi tetap isteri saya tak pernah merungut.
Akhir kata saya pada dia, jangan tunggu ada baru nak kawin. Kawin je dulu mesti nanti akan bertambah rezekinya. Isteri kita tak boleh ambil rezeki kita. Dia dah ada rezeki dia sendiri. Yakin je dengan rezeki yang Allah dah tetapkan. Apa yang penting, nak kawin ikut cara islam bukan ikut melayu. Kalau kita tak mampu buat majlis makan-makan je sudah. Tak perlu bersanding bagai. Perbelanjaan yang lebih penting adalah waktu menjalani kehidupan selepas itu.
Mudah-mudahan apa yang saya cerita pada dia ada manfaat untuk dia dan saya sendiri.
Azmi Saat,
Bersyukur punya isteri solehah.
Sumber: Azmi Saat
Sumber “Jangan tunggu ada baru nak kawin. Kawin je dulu mesti nanti akan bertambah rezeki” – Azmi Saat