PERJALANAN seni sememangnya sukar diramal. Ketahanan dan kekalnya seseorang anak seni bergantung kepada bakat dan juga rezeki mereka sendiri. Tiada jaminan kukuh.
Mendaki puncak populariti juga memerlukan ‘stamina’ minda yang kuat. Usah melenting tatkala kontroversi datang menyinggah di jendela. Kadang kala kerana mulut, karier binasa.
Menjadikan pengalaman lima tahun melukis bakat seni dalam kanvas industri lakonan sebagai guru, Johan Asaari tidak mahu lagi leka dan berpaling. Dia sudah sedar laluan yang harus dijalani.
Mungkin namanya kini semakin menyepi sehingga ramai yang bertanya, apa sudah jadi kepada pelakon yang dahulunya cukup popular? Atau Johan kini lebih bersikap selektif dalam memilih karya terbaik demi kelangsungan kerjaya seninya?
Dia tidak mahu lagi dieksploitasi dan dipergunakan oleh segelintir pihak yang mengambil keuntungan atas angin di atas populariti yang dimiliki. Pengalaman banyak mengajarnya untuk berhati-hati.
Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, dia juga tidak pernah menyesal dengan segala langkah yang diambil suatu ketika dahulu. Ada baiknya dia dipergunakan, semuanya demi pengajaran diri.
“Dahulu ketika saya popular, ramai pihak yang datang memberi tawaran filem. Ketika itu saya tak fikir panjang dan ambil sahaja. Tapi kita sebenarnya perlu banyak belajar sebelum masuk ke gelanggang filem.
“Bukan menyesal berlakon filem dahulu, tidak sama sekali. Cuma saya sedar, diri ini perlu mempelajari banyak lagi perkara.
“Setelah lima tahun, baru saya nampak yang kita sebagai pelakon perlu bijak.
“Bukan hanya bijak dalam memilih karya, kita juga kena berhati-hati dengan permainan industri. Dalam yang baik-baik ini, pasti ada kurang ikhlas. Dari situ kita kena bijak,” katanya serius melontarkan buah kata dan fikiran.
Johan ditemui sewaktu majlis sidang media 1st World Sama’ Fest. Program berunsur keislaman itu bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 28 Julai depan.
Ditanya adakah dia ralat apabila ada pihak menggelarkannya sebagai pelakon ‘sendu’, hero Juvana ini hanya tergelak kecil seraya menegaskan, dia masih lagi artis karpet merah.
Tidak mahu mengendahkan dakwaan tersebut, Johan mengakui cintanya terhadap dunia seni terlalu dalam.
Dia tidak mahu termakan kata-kata nista dan kecaman orang lain yang hanya menjatuhkan semangatnya.
“Kalau saya mahu popular, bila-bila masa sahaja boleh. Saya sudah tahu permainan industri. Saya juga tahu kekuatan dan kelemahan diri. Mungkin saya bukan untuk watak romantis tapi watak lain, saya boleh buat.
“Memang minat saya dalam bidang lakonan terlalu dalam. Kalau boleh, saya nak meninggal dunia sebagai seorang pelakon. Sudah lima tahun saya jatuh cinta dengan lakonan ini.
“Dunia seni bukan perkara main-main. Sebagai pelakon, kita tak boleh fikir diri sendiri sahaja. Kita kena belajar dan terus belajar untuk memartabatkan dunia industri lakonan,” katanya yang berhasrat menyambung pelajaran di Rusia dalam bidang lakonan.
Gembira melihat mereka bahagia
Membuka bicara soal peribadi, Johan diajukan dengan pertanyaan tentang kisah percintaan. Mengakui masih solo, dia bagaimanapun gembira melihat wanita yang pernah singgah dalam hatinya kini bahagia.
Tidak mahu menyebut nama secara khusus, dia tumpang gembira melihat kelangsungan kehidupan mereka.
Malah dia sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah di atas setiap onak liku yang dihadapi dalam hidup.
“Allah ingin menjaga saya, sebab itu dia jodohkan mereka dengan lelaki pilihan. Saya sangat gembira melihat kebahagiaan mereka sekeluarga. Kita kena teruskan hidup, kenapa perlu sengsara?
“Yang terjadi itu satu pengalaman yang berharga. Sekarang saya masih solo tapi pada usia ini saya sudah matang.
“Mungkin mudah apabila menempuh alam perkahwinan kelak,” katanya yang kini aktif dalam Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama).
Mengimbau kenangan lalu, Johan sememangnya cukup dikenali dengan imej budak nakal. Apatah lagi, dia merupakan teraju utama dalam drama popular, Juvana yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.
Namun, dia kini lebih gemar untuk tampil dengan imej lebih Islamik. Pelakon kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah menyesali kehidupannya dahulu.
Baginya, itu adalah salah satu rencah hidup.
“Lima tahun lepas, saya memang nakal. Bukan jahat tapi nakal sikit saja. Kita belajar cara hidup. Kita jalani hidup untuk menuju ke fasa dewasa yang lebih matang.
“Sebenarnya tak salah jadi baik atau pun jahat. Hidup ada pilihan. Masing-masing ada cara sendiri bagaimana untuk belajar menjadi manusia yang lebih baik,” katanya menutup bicara.
Sumber: Utusan Online
Sumber “Kalau boleh, saya nak meninggal dunia sebagai seorang pelakon” – Johan Asaari