Pelakon, Kamal Adli, menjadi mangsa langgar lari apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), minggu lalu.
Kamal bagaimanapun bersyukur apabila beliau tidak mengalami kecederaan parah dalam insiden yang boleh meragut nyawa itu.
“Kejadian berlaku ketika saya pulang daripada bermain bola, sekitar jam 2 pagi di MRR2. Secara tiba-tiba sebuah lori memotong laluan dengan laju tanpa menyalakan lampu amaran terlebih dulu. Saya terpaksa melepaskan motosikal kerana tidak mahu terperosok di bawah lori atau melanggar pembahagi jalan.
“Saya dapat lihat motosikal bergolek-golek di bahagian belakang, manakala topi keledar pula tercampak ke depan. Lori itu pula meninggalkan tempat kejadian tanpa memberikan sebarang bantuan. Saya rasa mungkin pemandunya takut dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah, semuanya selamat dan saya tidak mengalami kecederaan parah. Kalau diikutkan, cara jatuh itu sangat berbahaya dan boleh meragut nyawa,” katanya kepada BH Online.
Pada mulanya, Kamal enggan memperbesarkan kisah kemalangan terbabit, namun ia mula mendapat perhatian ramai apabila insiden berkenaan dimuat naik oleh rakan artis di sosial media.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Kamal kini terikat dengan program travelog, Curi-Curi Cuti, yang membawa artis tempatan bercuti bersama peminat bertuah di luar negara.
Selain itu, Kamal juga bakal menjalani penggambaran drama bersiri 16 episod untuk saluran Astro Ria.
Sumber: BH Online
Sumber Kamal Adli kemalangan, dilanggar lari lori