ADA kawan menelah, kahwin kali kedua belum tentu bawa kebahagiaan, tetapi saya tolak telahannya. Takkan saya tak bahagia sampai mati. Takkan Allah kejam pada saya. Mengapa saya tak mahu cuba, mana tahu akhirnya saya akan menemui kebahagiaan seperti orang lain. Itu keputusan saya, maka saya terima lamaran Zuki dengan harapan tinggi melangit saya akan bahagia setelah gagal kali pertama. “ Itu cerita Yusnaini dalam e-melnya.
“Lagi pun Zuki cinta pertama saya ketika saya meninggalkan kampung dan mula bekerja di bandar, Zuki lah orang pertama yang saya jumpa, dan banyak bantu saya. Kami bercinta kemudiannya tetapi terpisah bila saya dapat tawaran kerja tetap di KL. kerana di KT saya cuma pekerja sementara. Walaupun awalnya saya tolak, tetapi dengan nasihat abang serta emak dan ayah, saya terpaksa terima kata mereka demi masa depan.
“Walaupun terpisah tetapi kata Zuki tidak bermakna kasih kami terputus di tengah jalan. Dia juga galakkan saya ke KL. Mana tau satu hari nanti dia juga akan ikut saya. Jadi dengan berlapang dada saya tinggalkan Zuki dengan harapan hubungan kami tidak akan terputus, malah kami berjanji akan berkahwin selepas setahun saya bekerja tetap.
“Malangnya bila jauh di mata jauh juga di hati. Zuki semakin hari semakin renggang, akhirnya saya dapat tahu dia berkahwin dengan gadis pilihan orang tuanya. Bila balik KT saya cuba cari dia, tetapi gagal. Dia sudah bertukar tempat kerja.
“Dengan hati terluka dan hancur saya memulakan kehidupan di KL sendirian. Tetapi kesibukan kerja, kesesakan jalan raya dan keletihan bila sampai ke rumah membuat saya semakin terlupa dengan Zuki. Dua tahun kemudian apabila bertemu dengan Key keadaan mengubah segalanya. Dia pandai memujuk hati saya dan kami dengan cepat jadi kawan rapat dan akhirnya diikuti dengan perkahwinan setahun kemudian.
“Kebahagiaan yang saya harapkan akhirnya terjalin dengan Key. Kami di kurniakan sepasang anak yang comel. Saya rasa cukup bahagia. Tetapi sekali lagi saya diuji. Ketika kebahagiaan berada di puncak, saya dapat tahu Key bercinta dengan gadis lain. Sepuluh tahun zaman kebahagiaan saya hancur begitu sahaja. Dengan sekelip mata saya diceraikan.
“Hancurnya hati hanya Allah yang tahu. Kali ini lebih parah. Saya ditinggalkan dengan hutang kereta dan hutang rumah yang belum selesai. Memang masing-masing ada kereta, tetapi kereta saya masih belum selesai. Rumah yang baru dibeli lima tahun juga Key serahkan kepada saya, katanya dia tak mahu duduk apartmen.
“Ketika itu hanya Allah yang tahu betapa seksanya hidup saya jadi ibu tunggal dengan hutang keliling pinggang dan dua orang yang semakin membesar. Kalau hilang sabar mahu rasanya saya terjun lombong biar hilang semua penderitaan ini. Tetapi bila terpandang wajah anak-anak, saya jadi kaku. Nasib adik beradik beri nasihat.
“Hidup saya tenang bila adik-adik yang bekerja di KL duduk bersama saya dan bantu bayar ansuran rumah. Lega. Ini gunanya adik beradik. Tiga tahun kemudian mereka tinggalkan saya apabila masing-masing berkahwin. Tetapi ketika itu hati saya sudah pulih.
“Nak dijadikan cerita ketika usia di akhir ‘tiga siri’ ini saya berjumpa kembali dengan Zuki, kekasih lama yang ketika itu sudah ada tiga orang anak. Dia juga bekerja di pinggir KL. Dalam diam sudah empat tahun dia berpindah kerana mengikut isterinya yang bertukar kerja di KL.
“Pertemuan kami yang tidak sengaja di kompleks membeli belah membuat cinta kami mekar semula. Walaupun awalnya ada rasa benci pada Zuki, tetapi kerana kemahirannya, dia berjaya memujuk hati ini. Kami kembali bercinta.
“Dalam masa tak sampai setahun kami buat keputusan untuk berkahwin. Kawan menasihati jangan!. Adik beradik suruh fikir 10 kali sebab Zuki ada isteri dan tiga orang anak. Kata mereka adakah saya sanggup bermadu? Bermadu tak apa lagi, sanggup berperang ke? Sanggup kena maki hamun ke? Jika tidak tahan telinga, lebih baik jangan.
“Tapi entah macam mana, kerana hajat tak sampai, cinta putus di tengah jalan dan lebih penting, ingin mencari kebahagian yang tak kesampaian. Saya terima lamaran Zuki. Adik beradik tak mahu campur. Jika terjadi masalah tanggung sendiri. Masalah nak nikah kat mana? Kata Zuki itu semua soal mudah, isterinya konon dah tahu dan reda bermadu.
Terpaksa
“Memang tepat sekali, lepas tiga bulan nikah di sempadan sebab tak mahu rosakkan hati isterinya, saya lihat hubungan saya dengan Zuki memang baik, walaupun dalam seminggu dia cuma pulang ke rumah dua kali sahaja. Itu pun pada siang hari. Katanya anak-anak nak periksa jadi dia tak mahu runsingkan fikiran mereka takut pelajarannya terganggu. Saya percaya!
“Tak sampai setahun saya mengandung. Alhamdulillah! Walaupun ketika itu usia dah masuk empat siri. Semasa mengandung memang banyak dugaan. Tiba-tiba bekas suami suruh saya jual rumah, katanya dia berhak tuntut rumah yang saya duduk itu. Dulu kata tak mahu, sekarang hendak pulak. Tetapi dia suruh jual. Kalau jual saya dan anak-anaknya nak duduk mana? Kalau tak mahu jual kata Key, taksir harga, dia perlukan duit hasil jual rumah tersebut.
“Desakan demi desakan suruh saya jual apartmen tersebut. Zuki serahkan pada saya buat pilihan. Dia tak mahu campur dan saya minta tangguh. Sebab perlu berbincang dengan orang lebih tahu tentang jualan rumah dan harta sepencarian. Ialah dulu tak mahu serang pulak. Selama empat tahun saya sambung bayar ansuran sendirian. Takkan dia sedap-sedap nak duit jual rumah!
“Kerana fikiran terganggu anak lahir lebih awal dan ada masalah kesihatan. Terpaksa pulak berulang alik ke hospital walaupun dalam pantang selama dua minggu. Ketika itu saya betul-betul terasa peritnya. Sebab saya tepaksa memandu kereta sendiri. Kerana Zuki tak boleh hantar, dia kerja. Kerana anak makan minum pun saya kurang beri perhatian.
“Fikiran saya memang terganggu, dalam pantang kita perlukan cukup rehat, ini terpaksa memandu ke hospital. Kalau suami orang lain sibuk cari ikan haruan untuk isteri dalam pantang. Zuki kalau pun datang cuma berlenggang sahaja, dan suka mendiamkan diri, sepatah ditanya sepatah dijawab, kadang-kala terus membisu, memang boleh meroyan saya ketika itu.
“Selepas kelahiran anak sulung kami Zuki semakin jarang datang ke rumah. Kalau dulu dua hari dalam seminggu pada siang hari, kini seminggu sekali dan dalam masa dua jam sahaja. Kalau terlambat sikit pasti telefon akan berbunyi dan Zuki bergegas pulang. Kalau dulu alasan anak-anak nak periksa sekarang tak ada alasan lagi. Hinggakan kehadirannya ke rumah saya terasa macam terpaksa, sedangkan jiwa raganya memang tak mahu datang.
“Saya perhatikan Zuki langsung tidak ada perasaan kasih apa lagi sayang kepada anak saya ini, nak pegang pun jarang alasannya tak berani takut budak jatuh. Sebenarnya dia tak berapa gembira bila saya mengandung. Kalau boleh dia tak mahu ada anak langsung. Katanya faktor umur saya konon takut saya ada masalah kesihatan nanti. Itu hanya alasannya sahaja. Saya tak faham apakah jenis ayah yang langsung tak ada perasaan kasih pada anaknya sendiri. Lebih kecewa lagi apabila saya meminta dia beli susu formula. Katanya anak-anaknya menyusu badan.
“Adakah dia ingin bandingkan saya dengan isteri tuanya? Katanya apa salahnya beri susu badan. Saya katakan bukan semua wanita bernasib baik seperti isteri tuanya. Sudahlah beri makan sebulan sekali pun payah. Kalau bagi pun cuma RM300 sebulan cukup ke? Tambah sakit telinga bila Zuki sindir, pasal apa dia kena kena tanggung anak tiri? Sebab itulah juga Zuki datang rumah saya seminggu sekali dalam masa sejam. Tak mahu makan.
“Kata Zuki duit RM300 itu cukup untuk upah pengasuh dan susu anak. Takkan dia nak tanggung semua, anak tiri ada ayahnya, mintaklah nafkah dari ayahnya?
“Sekarang baru saya sedar bahawa kebahagiaan yang saya cari bukan dengan Key apa lagi Zuki, kebahagiaan ada dalam diri saya sendiri. Saya mesti berusaha bahagiakan anak-anak dan diri sendiri. Saya tak boleh bergantung pada suami. Dan sedarlah saya bahawa saya sudah tersilap langkah berkahwin lagi dengan hasrat mencari kebahagiaan. Tindakan saya itu lebih merosakkan jiwa dan diri sendiri.
“Lebih menyusahkan kahwin dengan suami orang, walaupun saya tidak berperang, tetapi tindak tanduknya sudah cukup melukakan dan membakar hangus hati dan jiwa saya, selain perangai suami yang terlalu takut dengan isteri tuanya.
“ Hinggakan Zuki tidak dibenarkan makan dan bermalan di rumah saya walaupun untuk semalam. Zuki boleh datang cuma pada siang hari selama sejam. Dan telefon akan berbunyi menandakan masa bersama saya sudah tamat. Zuki mesti segera pulang. Kejamnya!
“Namun sebenarnya bila difikirkan kembali saya sebenarnya berlaku kejam pada diri sendiri. Dan salah saya sendiri tidak fikir 10 kali sebelum buat keputusan berkahwin dengan Zuki, kini saya sendiri merasa betapa kejam dan pahitnya hidup bermadu.
“Hidup saya kembali kusut, dengan desakan bekas suami mahukan hasil jualan rumah kami, di tambah pula dengan tanggungjawab baru membesarkan anak yang masih kecil. Sepatutnya saya berehat sekarang, kini terpaksa pikul satu lagi tugas yang maha berat. Kebahagiaan yang saya idamkan bukan milik saya.
“Dengan fikiran yang semakin kusut, saya jadi seorang pendiam, kehadiran Zuki sudah tidak bermakna lagi pada saya, sebaliknya membawa lebih banyak penderitaan dan rintihan. Sebab saya gagal mengejar kebahagiaan bersuami isteri yang selama ini saya idamkan apabila berkahwin. Agaknya saya sudah ditakdirkan tidak boleh hidup bahagia dengan bersuami.
“Janji manis Zuki dulu mahu menjaga saya dan anak-anak saya cuma drama, dia mahu hidupnya lengkap dan bahagia jika saya tidak ada anak. Bolehkah saya melawan takdir? Kini saya menunggu masa yang sesuai jika Zuki mahu menceraikan saya, saya reda. Kerana perkahwinan tidak menjamin kebahagian untuk saya.’’ Itu cerita Yusnaini tentang kekecewaan hatinya.
Sumber: Utusan
Sumber Tidak ada kebahagiaan kahwin suami orang, kini saya sendiri merasa betapa kejam dan pahitnya hidup bermadu