Pada tahun 1966, P. RAMLEE dan SALOMA telah diundang untuk mengadakan persembahan di Sabah bagi menghiburkan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas menjaga sempadan Sabah – Indonesia berikutan pada ketika itu telah berlakunya konfrantasi di antara kedua-dua negara ini.
Kehadiran P. RAMLEE dan SALOMA disambut oleh beberapa pegawai atasan Angkatan Tentera yang bertugas disana. Semasa P. RAMLEE dan SALOMA sampai ke tempat persembahan, meraka berdua dikawal rapi oleh Angkatan Tentera Malaysia berikutan orang ramai turut hadir bagi melihat persembahan itu berasak-asak ingin bertemu P. RAMLEE dan SALOMA.
P. RAMLEE melakukan persembahan nyanyian seperti biasa dan sedikit lawak jenaka berseorangan (stand up comedy). Manakala SALOMA pula telah menyanyikan beberapa buah lagu. P. RAMLEE dan SALOMA sangat teruja dengan sambutan yang mereka terima di SABAH, kerana bukan dikalangan anggota Tentera sahaja yang hadir melihat persembahan mereka tetapi dikalangan penduduk setempat juga hadir memberi sokongan.
Selepas selesai persembahan, ada seorang dikalangan orang biasa telah berjumpa P. RAMLEE di belakang pentas. Orang itu meminta izin untuk bercakap dengan P. RAMLEE secara berdua. P. RAMLEE terpinga-pinga sebentar kerana beliau tidak mengenali individu tersebut. Tindakan individu itu telah dihalang oleh beberapa anggota Tentera yang bertugas. Tetapi setelah P. RAMLEE melihat kesungguhan orang itu maka P. RAMLEE bersetuju untuk berbicara dengannya secara berdua.
P. RAMLEE membawa orang itu disatu sudut di belakang pentas untuk memenuhi hasratnya. Tetapi anggota Tentera tetap memantau daripada jauh supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku kepada keselamatan P. RAMLEE.
Apabila hanya P. RAMLEE dan orang itu sahaja berada disudut itu, P. RAMLEE bertanya kepadanya,
”ada apa yang boleh saya bantu saudara?”
Orang itu tidak menjawab lalu terus bertanya kepada P. RAMLEE,
“Ilmu apa yang kamu gunakan?”
P. RAMLEE terpinga-pinga seolah-olah tidak mengerti. P. RAMLEE bertanya kepadanya lagi,
“mengapa saudara bertanya begitu?”
Lalu orang itu menjelaskan:
“Sebenarnya semasa kamu melakukan persembahan di atas pentas sebentar tadi, aku telah cuba untuk ‘menghantar’ satu benda yang tidak baik kepada kamu. Tetapi ternyata barang yang cuba aku tujukan kepada kamu itu tidak ampuh ke atas kamu kerana aku saksikan tidak ada apa-apa yang berlaku kepada kamu semasa melakukan persembahan.”
Setelah selesai mendengar penjelasan dari orang itu, P. RAMLEE hanya tersenyum kecil. Orang itu telah berkali-kali memohon maaf kepada P. RAMLEE dan mencium tangannya. P. RAMLEE menasihatkan kepada orang itu supaya jangan diulangi perbuatannya lagi. Kerana kita tidak tahu sejauh mana ilmu seseorang itu. Sejujurnya P. RAMLEE mengaku kepada orang itu yang beliau juga tidak tahu yang dirinya cuba disantau.
Orang itu terus bertanya,
“Ilmu apa yang kamu pakai?”,
P. RAMLEE hanya menjawab tidak ada ilmu apa-apa cuma Allah melindungi saya. Setelah selesai mendengar penjelasan dari P. RAMLEE, orang itu pun berlalu pergi meninggalkan P. RAMLEE.
Ada beberapa anggota Tentera yang menyaksikan kejadian itu bertanya kepada P. RAMLEE apakah yang sebenarnya berlaku dan apa yang orang itu tadi mahukan. P. RAMLEE hanya menjawab yang orang itu adalah sahabat lamanya yang telah lama tidak berjumpa.
Sebenarnya perkara begini bukan perkara baru bagi P. RAMLEE. Semasa di Singapura beliau sering juga diuji dengan pelbagai perkara-perkara yang sedemikian. P. RAMLEE juga pernah dikejar oleh samseng-samseng dikalangan pekerja kapal apabila beliau berlakon di dalam filem PANGGILAN PULAU, kerana bagi mereka kononnya P. RAMLEE ada menunjukkan beberapa adegan yang boleh mencetuskan tanggapan yang tidak baik kepada golongan perkerja kapal pada ketika itu yang sering kali disamakan dengan lanun.
Tetapi P. RAMLEE menjelaskan ini semua adalah kehendak pengarah filem itu sendiri iaitu S. RAMANATHAN dan beliau hanya berlakon sahaja. JASNI AHMAD (bapa Rosyatimah) adalah seorang yang berpengaruh ketika itu di Singapura yang sering kali mempertahankan P. RAMLEE sehingga tidak ada seorang pun di kalangan pekerja kapal yang berani menyentuh P. RAMLEE.
Kisah ini dipetik menerusi Sukardi (rakan karib P.Ramlee), Ramli Ismail, Dato’ Ahmad Fauzee dan Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik. - thepatriots.asia
Sumber Cubaan Santau P. Ramlee Gagal, Si Penyantau Terkejut Dengan 'Ilmu' P. Ramlee
Tags:
mazeer