Penyanyi terkenal Indonesia, Afgansyah Reza, 28, berharap teman senegaranya tidak terus dibuai emosi dengan memanjangkan isu ‘bendera terbalik’ yang boleh mencetuskan perbalahan antara dua negara.
Katanya, sebagai rakyat Indonesia yang pernah menetap di Malaysia, dia yakin perkara tidak disengajakan itu mampu diselesaikan dengan cara baik.
“Di Malaysia orangnya baik-baik, sangat mengalu-alukan dan penuh rasa hormat. Saya berharap tiada yang terbawa-bawa dengan emosi atau stereotaip mengatakan semua orang Malaysia sebegitu (tidak baik).
“Sepanjang tinggal di negara ini kerana menyambung pengajian, saya cukup mengenali penduduknya, malah saya juga bekerja dengan ramai pemuzik dan penyanyi tempatan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden rasa tidak puas hati sebilangan rakyat Indonesia berhubung kesilapan teknikal dalam buku cenderamata Sukan SEA 2017 yang memaparkan gambar bendera negara itu dalam keadaan terbalik.
Walaupun kerajaan Malaysia sudah meminta maaf, masih ada dalam kalangan penduduk negara jiran yang masih menyimpan amarah seperti memasang Jalur Gemilang secara terbalik di Solo, selain membakar bendera negara ini dalam demonstrasi membabitkan kelompok di Acheh.
Sementara itu, Afgansyah atau mesra disapa Afgan ini diterbangkan ke Kuala Lumpur bersama dua anggota kumpulan Ungu, Makki dan Endi, bersempena sidang media Konsert Terunggul Afgan & Ungu anjuran Popcorn Studio.
Kedua-dua nama besar dalam persada muzik itu bakal berkongsi pentas pada persembahan mega yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, 6 Oktober depan.
Sumber: Bharian
Sumber “Di Malaysia orangnya baik-baik” – Afgan nasihat usah panjangkan isu bendera terbalik