“Atas nasihat rakan dan bagi membersihkan nama baiknya dan keluarga, dia menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” kata pemain gitar popular, Man Kidal, 54, mengenai pembabitan anaknya, Mohd Shefflee, 32, atau Elly dalam perniagaan money game dan melarikan jutaan ringgit wang pelabur seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood berkata, anaknya itu menyerah diri minggu lalu bagi memberi keterangan dan hanya dibebaskan Ahad lalu.
Man berkata, berikutan dakwaan yang tular itu, keluarganya menjadi mangsa cemuhan netizen di media sosial.
“Kepada mereka yang tidak henti-henti mencemuh, menuduh dan melontarkan tohmahan terhadap anak saya, hentikan segera kerana ia turut membabitkan nama saya dan seluruh keluarga kami.
“Serahkan kepada polis dan biar mereka melakukan tugas mereka. Pada masa sama kami mengumpul bukti untuk membuktikan Elly tidak bersalah,” katanya kepada Harian Metro.
Man berkata, Elly kini menguruskan perniagaannya seperti biasa dan akan terus memberikan kerjasama kepada polis sehinggalah kes itu selesai.
Sumber: Harian Metro
Sumber “Dia menyerah diri” – Kata Man Kidal tentang anaknya yang didakwa larikan jutaan ringgit wang pelabur