Jangan derhaka Umno, pesan Najib pada Dr Mahathir

Najib berkata, meskipun berbeza pendapat dengan beliau, Dr Mahathir tidak harus mengkhianati Umno.

najib-mahathir-umno

SHAH ALAM: Dalam kritikan terbaharu hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad agar tidak menderhaka dan mengkhianati Umno walaupun kedua-dua mereka ada krisis pendapat.

“Yang aneh bekas pemimpin 22 tahun, kalau ada masalah dengan saya, jangan sampai dia derhaka dan khianati Umno.

“Beza pendapat biasa. Tetapi dalam sejarah, siapa tidak tahu dia (selalu) beza pendapat. Zaman Tun Hussein Onn (perdana menteri ke-3) dia gaduh, dia kutuk. Cuma tidak terbuka tetapi saya tahu.

“(Zaman) Tun Abdul Razak (perdana menteri ke-2) jer tak sempat. Dia tunggu anak dia pula,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Perwakilan Umno Shah Alam di Seksyen 18 di sini.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerjasama dengan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipecat beliau, bagi menundukkan parti yang pernah dipimpin beliau.

Beliau keluar Umno tahun lalu sebagai tanda memprotes kepimpinan Najib. Dr Mahathir pernah mengambil pendekatan yang sama semasa era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas keluar Umno, beliau bersama bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan PPBM, yang kini merupakan salah satu komponen PH.

Najib juga berkata, usaha Dr Mahathir untuk melaga-lagakannya dengan timbalannya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berjaya.

“Sama seperti dia gagal untuk membawa undi tak percaya di Parlimen. Dia tidak faham saya dan Zahid bukan baru ini berkawan,” kata beliau.

Bulan lalu, Dr Mahathir menegaskan pendiriannya tidak akan kembali ke pangkuan Umno jikapun Najib tidak lagi menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum akan datang.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Jangan derhaka Umno, pesan Najib pada Dr Mahathir

Post a Comment

Previous Post Next Post