Pendedahan yang dilakukan aktivis Yusuf Azmi semakin mendapat perhatian apatah lagi perjuangan radikalnya berjaya mengangkat isu pengguna.
Tampil berserban memperjuangkan nasib mereka, pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ini melangkah tanpa rasa gentar.
Menyertai PPIM enam tahun lalu, bapa beranak enam ini popular dengan isu pajakan kenderaan dan memperjuangkan nasib pemilik stesen minyak.
Namun, perjuangan Yusuf lebih awal daripada itu apabila giat membela nasib peminjam ceti haram dan kes penipuan telefon.
Imejnya yang berserban mengundang tanda tanya. Adakah ia simbol dalam perjuangan atau sekadar memenuhi tuntutan fesyen?
“Ia mengundang rasa tawaduk menjadikan saya tidak mahu berbuat perkara jahat. Isteri juga kata jangan tanggalkan serban kalau sayangkan dia.
“Saya kata pertama saya buat kerana Allah, kedua saya pakai bukan untuk menarik perhatian mana-mana wanita,” katanya kepada ProjekMMO.
Publisiti yang diterima Yusuf menjadikan beliau kini diangkat sebagai “hero” pengguna.
Selesa menyiarkan kegiatannya secara langsung di Facebook, Yusuf berkata pendedahan itu bukan bertujuan mencari publisiti murahan.
“Saya tengok selebriti pun tidak macam saya. Tetapi saya lebih banyak tengok orang menangis minta saya bela mereka.
“Nampak dari air muka, mereka menjalani keperitan yang amat sangat.
“Saya manusia biasa dan selalu minta pada Allah, jangan ada perasaan riak dan bongkak walaupun ke mana-mana orang ambil gambar seperti artis.
“Saya bukan artis dan saya tidak begitu selesa. Sebab itu jika ada jemputan, bukan saya tidak mahu pergi tetapi saya takut orang salah tafsir,” katanya.
Bergiat aktif dalam PPIM, Yusuf berkata persatuan itulah tempat beliau mengadu di saat mengalami masalah dalam perniagaan.
Yusuf, 28, berkata pertemuannya dengan ketua aktivis badan itu Datuk Nadzim Johan membuatkannya sedar lebih ramai pengguna yang ditimpa kesusahan.
“Sebelum saya bersama PPIM, saya berniaga gas memasak, kiub ais dan mengusahakan tiga restoran namun sudah ditutup.
“Mulanya saya ditipu lebih daripada RM1 juta. Saya masuk PPIM, saya ingat saya susah tetapi saya lihat ada yang lebih susah.
“Saya ingin berjuang bukan khusus kepada orang Melayu seperti dalam isu Caltex ada pengusaha Cina sudah 50 tahun.
“Ini satu platform terbaik untuk pengguna di Malaysia. Bukan untuk saya atau PPIM tetapi untuk kita semua,” katanya.
Ketegasan Yusuf dalam memperjuangkan isu pengguna tidak terbawa-bawa dalam menguruskan hal rumah tangga.
Perkara itu diakui isterinya, Sabrina Hamdan yang sudah 14 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama Yusuf.
“Dia seorang suami yang sukar untuk dicari. Dia seorang yang bertanggungjawab dan sangat romantik.
“Cara dia bercakap dengan isteri sangat lembut walaupun di luar nampak garang. Dia ada ciri-ciri suami yang semua wanita mahu,” katanya.
Berkahwin muda, Yusuf pula tidak melihat sifat lemah lembut Sabrina membuka peluang baginya untuk mengamalkan poligami.
Katanya, Sabrina seorang isteri solehah yang membuatkannya berasa cukup dengan apa yang mereka miliki sekeluarga.
“Saya tidak menolak apa yang Allah aturkan untuk hidup saya tetapi saya bermohon pada Allah cukuplah dia membahagiakan saya.
“Dia wanita paling pelik pernah saya jumpa. Dia kalau merajuk itu comel. Dia tidak marah dan dia siapkan juga apa yang saya mahu.
“Makan tetap bersuap di atas katil. Dia siapkan susu kambing dan semua vitamin. Sebab itu apabila bersama isteri, saya [jadi] malas.
“Untuk jadi lelaki yang luar biasa, kita perlu ada isteri yang luar biasa,” katanya.
Sumber: Projek MMO
Sumber Kenapa Yusuf Azmi berserban bela pengguna? Simbol perjuangan atau sekadar fesyen? Ini jawapan dari beliau sendiri!