PERNAH berhadapan dengan zaman kemasyhuran dan pernah juga berada dalam zaman kegelapan, hari ini Saiful Apek semakin matang dalam menghadapi hidup. Tentu sahaja, berada dalam pelbagai fasa kehidupan membuatkan dia ‘masak’ dengan selok-belok kehidupan yang tidak pernah menjanjikan kebahagiaan berpanjangan.
Menyelami hati lelakinya, dia mengakui sudah benar-benar matang menghadapi kehidupan. Dugaan yang bersilih ganti dilalui dengan tenang dan membuatkan dia tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini.
“Apa lagi yang saya tak lalui? Pernah berada di puncak kejayaan dan dalam masa yang sama juga pernah berhadapan dengan fasa kegelapan. Ini yang membuatkan saya sedar kehidupan kita tidak menjanjikan apa-apa melainkan kita sendiri yang mengubah nasib diri.
“Paling penting, kena ada perubahan.Jangan sesekali mengulangi apa yang sudah berlaku dan pastikan kehidupan kita bertambah baik dari sehari ke sehari,” katanya membuka bicara.
Mengimbas apa yang pernah berlaku kepada dirinya, pada 2010 menyaksikan namanya terpalit dengan isu dadah bersama lima rakan yang lain. Didakwa kerana memiliki ganja ketika itu, dunianya gelap dengan kes yang menggemparkan negara ketika itu.
Ketika itu dia sedar, tiada apa yang lebih berharga selain keluarga. Tentu sahaja air muka keluarga menjadi perkara paling berharga buatnya. Tidak malu untuk bercerita lanjut mengenai hal tersebut, lelaki yang lebih mesra disapa dengan panggilan Apek ini mahu masyarakat menjadikan itu sebagai iktibar dan panduan pada masa hadapan.
“Ketika saya berada dalam lokap, tentu sahaja wajah isteri dan anak-anak bermain dalam fikiran. Bila saya lihat mereka datang menjenguk, saya tahu ini adalah harapan untuk bangkit.
“Tak tergambar dengan kata-kata bila mereka datang memeluk sambil membisikkan sesuatu. Semangat yang diberikan itulah yang membuatkan saya bangkit beberapa tahun kemudian. Ini fasa gelap buat saya, apa pun yang terjadi perlu cari jalan keluar,” katanya.
Melalui perkahwinan tersebut, dia kurniakan M Riyadh Aslam, 21 tahun dan M Radzin Aiman, 19.
Tentu sahaja wajah kedua-dua orang anak dan isteri menjadi pembakar semangat untuknya terus bangkit. Mengakui tidak mudah untuk dia mencari semula tapak gemilang yang sudah ditinggalkan, Apek bersyukur kerana semangatnya kembali pulih empat tahun kemudian.
Mula menceburi bidang seni setelah menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1994 secara tidak sengaja. Dia juga pernah mengacarakan rancangan Melodi! bersama Fauziah Datuk Ahmad Daud dan pernah menganggotai kumpulan Senario.
Pernah terlibat dalam puluhan buah filem popular dan sendu, antara yang kekal diingati termasuklah Cicakman, sekual filem Senario, Laila Isabella, Lang Buana, Jutawan Fakir, Nana Tanjung, Magika, Sifu & Tongga, Duyung dan Raya Tak Jadi.
Pernah menggemparkan negara dengan kes dadah sekitar 2010 bersama lima rakan yang lain, kes tersebut sudah selesai meskipun mengambil masa yang panjang.
Kurang memberikan galakan kepada anak-anak untuk menjadi artis, tetapi akan memberikan sokongan penuh sekiranya mereka mahu terlibat di belakang tabir sebagai kru profesional.
Anak sulungnya sedang mengikuti kursus perfileman di salah sebuah universiti awam. Anak keduanya pula seperti berminat untuk terjun ke dalam bidang seni namun perkara tersebut tidak pernah dibincangkan secara serius oleh mereka sekeluarga.
Menasihati pelawak baharu agar lebih berhemah dalam berjenaka. “Jangan memandai-mandai dan apa yang paling penting, jaga budi bahasa. Melawak pun kena kawal dan jangan sembarangan,” pesan Apek.
Di sebalik RM5 juta
MENJADI anak seni bukan satu perkara yang mudah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Kisah wang RM5 juta yang lebur begitu sahaja sepanjang 23 tahun bergelar artis antara perkara yang dijadikan sempadan oleh pelakon yang popular dengan filem Duyung ini supaya tidak terus jadi ‘mangsa’ pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
“Itu antara pengajaran terbesar dalam hidup saya. Jangan sesekali percaya dengan orang yang menjanjikan kemewahan tapi dalam masa yang sama masih tiada jaminan. Biarlah berusaha sedikit demi sedikit asalkan ada pulangan.
“Saya pernah ‘dikencing’ dalam beberapa pelaburan termasuklah dalam bidang hiburan dan luar, perniagaan dan beberapa hal lagi. Saya serik dengan perkara-perkara begini. Mujur masalah-masalah ini tak membuatkan saya bankrap. Kalau tidak lagi teruk kehidupan kami anak-beranak,” tambahnya lagi.
Tidak mahu mendedahkan pelaburan yang mana satu mendatangkan kerugian besar, ada ketikanya dia juga ditipu dalam soal kreativiti. Mereka menjanjikan untuk memberikan sesuatu dalam bidang lakonan dan setelah usaha dilakukan, wang yang dijanjikan tidak diterima.
“Lebih baik buat perniagaan biasa-biasa saja, tetapi tak rugi. Saya gembira kerana perniagaan makanan saya tak pernah rugi. Walaupun tak mendatangkan untuk besar, tapi mampu bertahan sehingga ke hari ini untuk survival kami anak-beranak,” tambahnya.
Sejak lapan tahun lalu, Apek ada membuka gerai Gitu-Gitu Char Koey Tiaw di Pulau Pinang bersama seorang rakan kongsi. Tidak memerlukan modal yang besar, gerai tersebut masih kekal berdiri sehingga ke hari ini.
Kata Apek, ada juga dalam kalangan peminat yang meminta dia membuka cawangan baharu di Kuala Lumpur tapi dia belum yakin dan lebih selesa menguruskan perniagaan di sana sahaja.
“Nak buka cawangan bukan mudah, banyak perkara yang perlu dipatuhi dan dipelajari. Paling penting kualiti dan rasa perlu sama. Bila difikir-fikirkan balik, rasanya lebih baik dibiarkan beroperasi di sana sahaja,” katanya.
Terbaru, Apek dan sahabatnya, Yasin bakal bersama membuat persembahan istimewa sempena dengan Fiesta Getthiss yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 September hadapan di MITC, Melaka. Fiesta yang menghimpunkan peniaga online dari seluruh negara itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa puluhan artis lain termasuklah Wings, Aiman Tino, Khalifah, Siti Nordiana dan ramai lagi.
Perubahan
MUSIBAH bukan hanya peta, tetapi dalam beberapa keadaan juga boleh dianggap sebagai ‘rezeki’ dan ‘rezeki’. Sekurang-kurangnya ia mampu membawa kesedaran untuk kita segera berubah ke arah kebaikan. Apa yang terjadi telah membuka jalan untuk Apek kembali ke landasan agama seperti mana yang dituntut. Tidak pernah bercita-cita untuk bergelar ustaz atau pun pakar motivasi, hasrat yang baik itu datang secara tiba-tiba.
“Memang betul, ada hikmah atas apa perkara buruk yang berlaku. Bila saya membetulkan semula jalan hidup, perkara yang tak dijangka pula diterima. Saya diundang oleh pelbagai pihak untuk sama-sama berkongsi cerita dengan mereka.
“Ada yang melibatkan kuliah di masjid dan tak kurang juga dijemput oleh pihak universiti. Saya tertanya-tanya juga mengapa perkara ini terjadi kepada orang macam saya, bila difikirkan semula, mungkin kisah saya boleh dijadikan panduan untuk semua.
“Sampai beberapa ketika tertanya-tanya layakkah saya berada di tempat tersebut? Layakkah saya bercerita dan memberikan nasihat kepada orang lain? Bila melihatkan respon mereka, saya gembira kerana telah berkongsi sesuatu yang baik
“Saya berkongsi kisah hidup sahaja dan bukannya berceramah tentang hukum agama. Urusan itu biarlah diserahkan kepada yang lebih arif. Apa pun, gabungan kami (bersama ustaz) membuatkan majlis tersebut menarik,” tambahnya lagi.
Kini, sudah tiga tahun dia berkongsi cerita dengan pelbagai segenap lapisan masyarakat di seluruh negara dan pastinya ada kepuasan yang terpancar di wajahnya saat bercerita tentang hal berkenaan.
Menariknya, Apek tidak menyimpan sendiri cerita tersebut dan dia juga sering menggunakan aplikasi Bigo Live untuk berinteraksi bersama peminat sejak beberapa tahun lalu untuk berkongsi nasihat, persoalan dan segala hal.
“Apabila berinteraksi bersama peminat secara terus, saya dapat memberikan sesuatu. Ada juga yang bertanyakan secara terus soalan-soalan sensitif yang tidak ditanya oleh golongan wartawan sekali pun.
“Tapi saya tak kisah, ini medan saya untuk menyampaikan sesuatu yang baik. Selain berdakwah dan memberikan serba sedikit nasihat, saya juga mampu untuk berhubung rapat dengan mereka,” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Online
Sumber Kisah duit RM5 juta Apek lebur: “Ini pengajaran terbesar, jangan sesekali percaya dengan orang yang menjanjikan kemewahan”