Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kesilapan apabila bendera Indonesia dicetak terbalik di dalam buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata siasatan adalah untuk mengenal pasti punca kesilapan itu berlaku.
“Mungkin ada kesilapan teknilkal berlaku, bagaimanapun kita sedang menyiasat perkara ini dan kita akan ambil tindakan sewajarnya kerana ini merupakan insiden yang sepatutnya tidak boleh berlaku.
“Kita tidak mahu negara jiran Indonesia berkecil hati dengan perkara ini dan kita akan mengambil beberapa langkah keselamatan agar perkara ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor yang baharu antara Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.
Mohamad Fuzi berkata hubungan Malaysia dengan Indonesia amat penting kerana negara itu turut menyertai acara sukan dwitahunan berkenaan.
Dalam kejadian semalam, bendera Indonesia dikesan dicetak terbalik pada buku panduan Sukan SEA KL2017 sehingga menjadi tular di laman sosial selain mengundang pelbagai kritikan, termasuk oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia, Imam Nahrawi.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bagaimanapun telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya itu dengan berkata kesilapan itu tidak disengajakan.
Sumber: FMT
Sumber Polis siasat punca bendera Indonesia dicetak terbalik