BOHONGLAH kalau tiada langsung kemarahan di hati apabila diri tiba-tiba diherdik dan dimaki-hamun sesuka hati oleh sesiapa pun, lebih-lebih lagi andai individu itu adalah seseorang yang asing.
Itu yang dilalui pelakon Ika Nabila, yang baru-baru ini menjadi mangsa keadaan kerana sikap manusia yang penuh dengan rasa amarah. Dia terpaksa berdepan dengan caci maki masyarakat luar yang tidak tahu pucuk pangkal cerita gara-gara dia dituduh bertindak kasar dengan seorang wanita yang tidak dikenali.
Dalam kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang itu, Ika dituduh sengaja mencari pasal dengan melanggar wanita berusia sekitar 50-an.
Biarpun pada mulanya dia memilih untuk berdiam diri kerana menganggap tiada gunanya berdebat dengan wanita penuh emosi itu, Ika menukar fikiran dan mendedahkan kata caci maki individu tersebut dalam perkongsiannya di media sosial. Paling membuatkan Ika bengang, wanita itu seakan menganggap golongan artis bagai tiada akal dan pelajaran.
“Siapa dia untuk katakan yang saya ni bodoh dan tak ada pelajaran? Apa kena-mengena kejadian yang berlaku dengan sejauh mana pelajaran seseorang artis itu?
“Ya, mungkin salah saya kerana tidak sengaja terlanggar. Orang tak tahu cerita sebenar sehingga ramai yang tak puas hati dan ‘bantai’ saya di media sosial.
“Sedangkan saya dari awal minta laluan ketika melalui eskalator, namun dia rancak berbual, tidak begitu membantu dan menghalang laluan. Kalau dah laluan pun sempit, bohonglah kalau sedikit pun tak terkena atau terlanggar dia, tetapi bukan saya sengaja pun,” katanya.
Tidak cukup menerima caci maki termasuk isyarat lucah daripada wanita berusia itu, Ika diserang pula di media sosial setelah wanita berkenaan menemui akaun Instagram miliknya.
“Dia kata ‘oh rupanya ni artis, tak adalah bijak mana pun.’ Sudah tentulah kita bengang kerana siapa dia untuk cakap buruk sampai begitu sekali mengenai saya? Siapa dia nak kategorikan seseorang itu bijak atau tidak?
“Kemudian dia mula memuat naik status yang bersifat membuli dan kurang ajar di media sosial termasuk memanggil saya ‘anak sial.’ Marahnya dia seolah-olah saya ni macam nak bunuh dia agaknya. Itu pun orang yang hantar semua bukti itu juga menerusi media sosial.
“Hairannya, ramai yang memberi maklum balas kepada saya secara peribadi dan katakan bahawa wanita berkenaan memang ‘begitu’. Bukan seorang dua, tetapi ramai yang mengadu pernah berdepan dengan situasi lebih kurang sama, siap buat laporan polis pun ada!
“Tak kurang juga ada yang katakan dia bertujuan nak publisiti kerana sedang menjalankan perniagaan. Saya tak tahulah, yang pasti dia kurang ajar,”katanya.
Tak puas hati
Kongsi pelakon berusia 28 tahun ini lagi, dia yang sebenarnya enggan memanjangkan cerita bagaimanapun terpaksa bersuara kerana tidak mahu lebih ramai yang sering salah erti dan melabel golongan artis itu bodoh.
Menyangkal pandangan sebegitu rentetan sikap keterlaluan yang ditunjukkan oleh wanita berusia itu, Ika mengaku tidak berpuas hati kerana zaman telah berubah namun masih ada lagi yang berfikiran dungu seperti itu.
“Asal artis saja orang kata bodoh dan tak ada pelajaran. Tahu tak bahawa ramai golongan artis kita sekarang memiliki ijazah dengan ada antaranya memiliki kelulusan di peringkat tertinggi, termasuk belajar di luar negara?
“Sebenarnya golongan artis tidaklah seteruk yang disangka atau bodoh bagai dilabelkan. Kita semua manusia biasa, semua sama sahaja. Tak perlu nak merendah-rendah atau menghukum seseorang itu hanya kerana dia seorang artis. Akal fikiran macam inilah yang sepatutnya ditukar selain perangai dan kelakuan
“Kalau tak kenal seseorang itu, jangan pandai-pandai nak hukum dia, saya katakan ini secara umum dan tidak semestinya kerana apa yang telah berlaku pada saya tempoh hari, ini semua adalah pengalaman dan contoh.
“Yang baik diikuti, yang buruk kita elakkan,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, kata Ika, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang andai wanita berkenaan cuba mengganggu lagi di mana-mana medium.
Bagi Ika, hal ini dari awal tidak sepatutnya berlaku dan boleh diabaikan masing-masing tetapi kerana keterlanjuran kata yang dilakukan oleh wanita beremosi berkenaan, Ika mengaku tidak akan berpeluk tubuh andai perkara makin melarat selepas ini.
Sumber: Utusan
Sumber “Siapa dia kata saya bodoh? Apa kena-mengena kejadian dengan tahap pelajaran artis?” – Ika Nabila