BESUT – Anggota Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dipanggil bagi menyiasat penemuan satu tengkorak manusia di kawasan hutan Pulau Perhentian kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Mohd Zamri Mohd Rowi berkata tengkorak tersebut ditemui oleh penduduk di satu kawasan hutan berdekatan Kampung Pasir Panjang, Pulau Perhentian, kira-kira tiga kilometer dari kawasan perkampungan penduduk.
“Turut dijumpa bersama tengkorak itu sepasang kasut berwarna hitam , sebuah beg sandang dan sepasang cermin mata,“ kata Mohd Zamri kepada media di sini hari ini.
Menurutnya, polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya datang membuat aduan di mana-mana balai polis bagi memudahkan penyiasatan. – BERNAMA
Sumber Tengkorak manusia dijumpai di Pulau Perhentian