Alyah pilih Farawahida

Impian penyanyi popular Datin Alyah untuk berkolaborasi dengan penyanyi wanita tercapai menerusi single duetnya bersama Farawahida berjudul Mengapa Harus Aku ciptaan Alfie Alwi dan lirik oleh Alyah sendiri.

Menurut Alyah, 36, dia memilih Farawahida kerana keunikan vokal dan nada suara mereka berbeza.

“Awal kemunculan dulu saya pernah berduet dengan penyanyi lelaki iaitu Riz (AF6) menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.

“Selepas itu, saya pasang impian berduet dengan penyanyi wanita pula dan mencari yang secocok dengan suara.

“Selepas lebih lima bulan pencarian termasuk bertanya dengan teman rapat akhirnya saya memilih Farawahida untuk kolaborasi menerusi single duet ini,” katanya.

Mengulas lirik lagu Mengapa Harus Aku pula, Alyah menafikan lagu itu ada kaitan dengan kisah hidupnya.

“Saya banyak berkongsi cerita dengan Alfie yang juga pencipta lagu Sesal Separuh Nyawa.

“Saya menulis lirik lagu ini dengan menyelami pengalaman hidup dan kesakitan wanita lain.

“Kisah wanita yang hidup bermadu, disakiti dan menyakiti juga tular dalam masyarakat kita hari ini.

“Bayangkan, kedua-dua wanita itu tiada pintu keluar kerana pasangan menyayangi mereka sekali gus,” katanya.

Alyah ditemui pada pelancaran single duet Mengapa Harus Aku yang berlangsung di Subang Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan A&R Warner Muzik Malaysia, Mokhtaza Ahmad.

Ditanya mesej lagu itu yang memaparkan kecurangan pasangan pula, Alyah meminta peminat melihat perkara terbabit dari sudut positif.

“Mungkin ada orang nampak mesej kecurangan pasangan menerusi klip video muzik lagu ini tetapi ia adalah sebahagian daripada kehidupan yang berlaku hari ini.

“Saya tidak menyokong poligami tetapi soal jodoh dan ajal adalah ketentuan Allah SWT,” katanya.

Alyah berkata, dia bersedia sekiranya lagu dan video muzik Mengapa Harus Aku dikecam netizen.

“Saya pernah berdepan kritikan lebih teruk sebelum ini.

“Biarlah orang nak cakap apa pun kerana jika diri ini diperkatakan termasuk cerita negatif pun ia bermaksud saya masih wujud dalam industri seni tanah air.

“Apa yang penting, niat utama saya untuk mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas lanjut album penuh pula, buat masa ini Alyah muncul dengan tiga single secara berperingkat.

“Selain Menunggu Bayangmu dan single duet Mengapa Harus Aku, saya sudah merakamkan single ketiga iaitu Jutaan Purnama ciptaan Hael Husaini.

“Maklumlah, saya bergerak sendiri dan menunggu masa sesuai untuk menghasilkan bingkisan album penuh,” katanya.

Doa dapat cahaya mata

Setiap pasangan yang berkahwin pasti impikan kehadiran cahaya mata untuk melengkapi kebahagiaan sedia ada.

Begitu juga Alyah dan suaminya, pengarah dan penggubah muzik terkenal Datuk Ramli MS yang sudah mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan semuanya berjalan lancar.

“Soal anak pula, saya tidak pernah putus berdoa kepada Allah agar rumah tangga kami dikurniakan zuriat.

“Saya juga selalu memujuk hati setiap kali orang tanya soal anak.

“Saya percaya Allah adalah perancang terbaik. Mungkin belum rezeki kami lagi,” katanya.

Walaupun sudah memiliki dua anak angkat, Alyah juga mengimpikan untuk memiliki anak kandung.

“Ramai yang ingin beri anak angkat tetapi saya tetap ingin ada anak sendiri.

“Dua anak angkat juga sudah besar dan kini tinggal di asrama dan belajar di sekolah menengah,” katanya.



Sumber Alyah pilih Farawahida

Post a Comment

Previous Post Next Post