AWAS kesan 218,861 kesalahan lalu lintas

GUA MUSANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 218,861 kes kesalahan lalu lintas sejak kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dipasang di seluruh negara, lima bulan lalu.

Daripada jumlah kes dikesan sehingga 6 September itu, sebanyak 18,913 adalah kes kesalahan melanggar lampu isyarat dan 199,948 lagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata sistem itu dipasang di semua jalan raya seluruh negara sejak 15 April lalu.

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang dikesan melanggar peraturan dikenakan tindakan kompaun.

"Kita yakin sistem ini dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 1Komuniti 1JPJ di Dataran Paloh 2, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa.

Ab Aziz berkata, sistem terbabit amat berkesan bagi mengesan kesalahan lalu lintas dan sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran kepada pengguna.

"Pendekatan pemasangan kamera AWAS dapat meningkatkan kemampuan kita menguatkuasakan undang-undang.

"Kalau dulu kita menggunakan kakitangan, tetapi sistem ini dapat membantu kita mengatasi masalah tidak cukup kakitangan. Ia juga berjaya mengesan kesalahan lalu lintas," katanya.



Sumber AWAS kesan 218,861 kesalahan lalu lintas

Post a Comment

Previous Post Next Post