Bakar tahfiz: Kanak-kanak 12 tahun mengaku tidak bersalah ambil dadah

KUALA LUMPUR: Lima remaja dan seorang kanak-kanak termasuk dua tertuduh yang didakwa membunuh pelajar dan tenaga pengajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Dua remaja berusia 16 tahun yang dituduh membunuh, mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas.

Bagaimanapun mahkamah belum menjatuhkan hukuman terhadap mereka sementara menunggu laporan akhlak dan laporan kimia.

BACA: Bakar pusat tahfiz: Dua suspek dituduh membunuh

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 23 maut, empat serius

Sementara itu, tiga lagi tertuduh termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun serta remaja masing-masing berusia 16 dan 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mereka masing-masing didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, kira-kira pukul 11.35 pagi, 16 September lalu.

BACA: Kebakaran tahfiz: Disengajakan, silinder gas LPG punca api marak dengan cepat

BACA: Akibat ejek-mengejek, pusat tahfiz dibakar

Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap semua tertuduh.

Bagaimanapun peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin yang mewakili tertuduh berusia 12 tahun memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya masih kanak-kanak.

Majistret Zilfinaz membenarkan kanak-kanak itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan tertuduh di bawah umur.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar seorang lagi tertuduh, Mohammad Shahrul Nizam Ikmal Shafi-in,18, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan memasukkan dadah jenis carbolic acid dan syabu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun mahkamah belum menjatuhkan hukuman ke atasnya sementara menunggu laporan akhlak dan laporan kimia.

Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh dan mahkamah tidak membenarkan dia diikat jamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 28 November untuk sebutan semula kes.

Seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat itu terkorban akibat terperangkap di asrama pusat itu pada 5.15 pagi Khamis 14 Sept lepas.



Sumber Bakar tahfiz: Kanak-kanak 12 tahun mengaku tidak bersalah ambil dadah

Post a Comment

Previous Post Next Post