MILAN: Penyandang juara Itali, Juventus dan Napoli meneruskan kempen sempurna di awal musim untuk kembali menghuni tangga teratas Serie A, selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, Juventus sedikit bergelut sebelum membenam Fiorentina 1-0 di Turin, manakala Napoli mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Lazio sekali pun terlebih dulu dibolosi lawan.
Selepas lima perlawanan, Juventus dan Napoli mengumpul 15 mata maksimum ketika satu lagi pencabar, Inter Milan terpaksa berpuas hati mengutip satu mata di Bologna, semalam.
Stefan de Vrij meletakkan Lazio di depan pada babak pertama, namun Napoli yang beraksi di gelanggang lawan bangkit untuk menjaringkan empat gol pada babak kedua termasuk tiga gol dalam tempoh empat minit.
Selepas aksi separuh masa pertama di Turin berakhir tanpa jaringan, gol tunggal Juventus dijaringkan penyerang Croatia, Mario Mandzukic menerusi tandukan berpunca hantaran menarik Juan Cuadrado pada minit ke-53.
Sekalipun Fiorentina terpaksa beraksi 10 pemain apabila pemain tengah, Milan Badelj dilayangkan kad merah, tiada jaringan tambahan berjaya dijaringkan naib juara Eropah itu sehingga tamat permainan.
"Perlawanan ini memberi pengajaran bahawa untuk mencatat kemenangan, kamu perlu bergelut dan 1-0 adalah keputusan yang baik," kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
"Napoli sama seperti Inter, AC Milan dan Roma - mereka adalah pencabar utama kami. Kami perlu melangkah ke depan dengan tenang, satu langkah ke satu langkah.
"Perlawanan tetangga adalah hebat dan kami memperoleh beberapa hari untuk proses pemulihan," kata Allegri dengan skuadnya dijadual bertemu kelab tetangga, Torino dalam kempen Serie A, Ahad ini.
Pesta jaringan Napoli ke atas Lazio bermula pada babak kedua sekali pun skuad bimbingan Simone Inzaghi memperoleh permulaan baik selepas pertahanan, De Vrij membuka tirai jaringan pada minit ke-29.
Begitupun, kecederaan yang dihadapi Bastos dan De Vrij memberi tuah buat Napoli yang menggunakan sepenuhnya kerapuhan pertahanan tuan rumah untuk meledak gol dalam tempoh empat minit.
Pemain kelahiran Senegal, Kalidou Koulibaly menyamakan kedudukan buat Napoli pada minit ke-54 sebelum Jose Callejon menggandakan kedudukan dua minit kemudian, diikuti jaringan ketiga oleh Dries Mertens pada minit ke-59.
PEMAIN Napoli, Dries Mertens (kiri) berkongsi kegembiraan selepas menjaringkan gol. Napoli mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Lazio. -Foto AFP
Jorginho kemudian menambah gol keempat Napoli pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti. - AFP
Sumber Juventus, Napoli kekal di puncak Serie A