Panggilan video menerusi aplikasi Skype antara yang popular dalam kalangan pengguna Internet. (Gambar: pcworld.com)
Kepesatan perkembangan teknologi komunikasi nyata merubah cara manusia berhubung di antara satu sama lain. Pada awalnya kita dapat perhatikan semakin kurang orang ramai menggunakan surat. Kini panggilan telefon sudah melalui perubahan sesuai dengan peredaran zaman.
Memandangkan capaian Internet kini mudah didapati di mana-mana sahaja, masyarakat lebih gemar membuat panggilan telefon menggunakan Internet berbanding kaedah biasa. Ini kerana kaedah tersebut tidak melibatkan apa-apa cas atau bayaran.
Terdapat pelbagai aplikasi mudah alih yang bukan sahaja mampu membuat panggilan telefon suara tetapi juga video. Malah, majalah Business Insider mengatakan kualiti panggilan melalui aplikasi-aplikasi ini adalah lebih tinggi berbanding kualiti panggilan telefon biasa! Tidak cukup dengan itu, anda juga mampu membuat panggilan jarak jauh tanpa sebarang tambahan kos.
Maka, tidak hairanlah syarikat-syarikat telekomunikasi sekarang berlumba-lumba mengiklankan promosi data Internet mereka. Masyarakat sudah tidak hairan dengan penjimatan panggilan atau sistem mesej ringkas (SMS). Sebaliknya, yang menjadi keutamaan adalah tawaran yang diberikan pada promosi data Internet.
Di sini, Rojak Daily Skop! paparkan tujuh aplikasi mudah alih yang membolehkan anda membuat panggilan telefon dan video berkualiti tinggi:
1. SKYPE
Tiada sesiapa yang boleh menyangkal bahawa Skype adalah antara aplikasi panggilan percuma yang paling terkenal dan paling meluas dari segi penggunaannya. Aplikasi ini boleh dimuat turun dan digunakan pada telefon mudah alih, komputer dan tablet.
Anda hanya perlu memastikan orang yang anda ingin hubungi juga sudah mempunyai akaun Skype. Sesudah itu anda boleh membuat panggilan suara, video dan menghantar mesej pesanan secara percuma! Aplikasi ini juga mempunyai kemampuan untuk menghubungi nombor telefon biasa tetapi akan dikenakan bayaran sekiranya kaedah tersebut yang menjadi pilihan.
2. WHATSAPP
Satu lagi aplikasi yang tidak perlu diperkenalkan lagi terutama dalam kalangan pengguna di negara ini, adalah WhatsApp. Populariti aplikasi ini di negara ini dapat dibuktikan melalui statistik yang mengatakan 58 peratus rakyat negara ini menggunakan aplikasi WhatsApp dalam kehidupan seharian mereka. Ini menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna WhatsApp terbesar di dunia!
Bermula sebagai sebuah aplikasi yang hanya menawarkan perkhidmatan pesanan mesej sahaja, WhatsApp kini berkembang untuk menawarkan panggilan telefon dan perbualan video secara percuma. Malah, panggilan videonya turut menampilkan pelbagai ‘filter’ animasi pada wajah yang sudah pasti menghiburkan kanak-kanak.
3. SIGNAL PRIVATE MESSENGER
Sesuatu yang sering menimbulkan kegusaran mengenai penggunaan Internet adalah tahap privasi dan keselamatan maklumat. Di sinilah aplikasi Signal Private Messenger memainkan peranan. Kesemua perbualan yang dihantar melalui aplikasi ini, baik panggilan suara, video mahupun pesanan mesej akan melalui proses ‘encryption’ data. Jadi, bagi mereka yang mahukan servis percuma tetapi pada masa yang sama mementingkan privasi, anda boleh memuat turun aplikasi Signal Private Messenger.
4. SLACK
Sebuah aplikasi yang semakin meningkat dari segi populariti terutamanya bagi hal-hal berkaitan kerja, adalah Slack. Kelebihan utamanya adalah kemampuannya untuk diintegrasikan bersama dengan pelbagai aplikasi lain. Bagaimanapun, dari sudut panggilan telefon dan video, kualitinya tidaklah sebaik kebanyakan aplikasi yang lain.
5. FACEBOOK MESSENGER
Walaupun dari sudut prestasi, kebanyakkan aplikasi Facebook adalah ala-kadar sahaja, kelebihan utama yang dimiliki media sosial tersebut adalah penggunaannya yang meluas. Keistimewaan lain yang dimilikinya adalah anda tidak perlu menggunakan telefon anda untuk menggunakan applikasi tersebut. Sebaliknya, Facebook Messenger boleh dibuka melalui komputer sahaja. Selain itu, anda juga boleh bermain permainan video dengan rakan anda melalui aplikasi ini.
6. GOOGLE HANGOUTS
Aplikasi yang dibangunkan syarikat teknologi terkemuka dunia, Google, ini membolehkan pengguna membuat panggilan suara, video, dan pesanan mesej secara percuma. Bermula sebagai ciri yang terdapat pada sistem emel, Gmail, ianya berkembang menjadi aplikasi mudah alih. Hangouts turut menampilkan beberapa ciri istimewa seperti panggilan video secara berkumpulan dan juga kebolehan membuat panggilan ke nombor telefon biasa.
7. FACETIME
Sepertimana juga aplikasi Skype, FaceTime juga lebih dikenali sebagai aplikasi untuk membuat panggilan video tetapi ia sebenarnya turut mempunyai kemampuan membuat panggilan telefon suara dengan baik! Bagaimanapun, aplikasi yang dibangunkan oleh syarikat Apple ini hanya ditawarkan pada iPhone, Mac dan produk keluaran Apple yang lain sahaja.
Sumber Nak Buat Panggilan Dan Video Percuma? 7 Aplikasi Ini Dapat Bantu Anda