Kehadiran band muzik misalnya, turut memberi ruang buat pencinta seni tanah air dapat memilih genre lagu yang memenuhi cita rasa mereka.
Bagaimanapun, sebagai muka baru, sudah tentu mereka perlu berusaha lebih keras bagi menempatkan diri setara dengan pemain muzik senior.
Itulah hakikat yang di akui kumpulan Perajurit sebagai usaha untuk maju dalam industri.
Sudah pasti kerja keras dan usaha berpanjangan menjadi senjata paling ampuh untuk mengumpul pengalaman dalam muzik.
Pada masa sama, mereka juga perlu peka terhadap apa yang dinginkan pendengar.
Perajurit dianggotai empat anak muda iaitu Mohd Firdaus Nazri (Robot) selaku gitaris/vokalis, Hairul Hadri Hairuddin (Adry) gitaris, Shahbaz Ahmad Muhd Sallehuddin (Bazz) basis dan Mohd Naszrularif Abu Bakar (Nasz) yang berada pada posisi sebagai pemain drum.
Ditemui sejurus rakaman program The Stage Media Hiburan baru-baru ini, Robot menyifatkan penubuhan Perajurit adalah tepat, memandangkan masing-masing mempunyai visi untuk lebih maju dalam seni, sementelah pengalaman yang dikutip bersama band lain sebelum ini memberi kelebihan tersendiri dalam kalangan ahli anggota Perajurit.
“Kebanyakan ahli kumpulan Perajurit sebelum ini sudah pun mempunyai band muzik indie sendiri dan kami sejujurnya saling mengenali saat melakukan persembahan gig.
Jadi daripada situlah, hubungan jadi rapat. Biasalah bila isi masa bersama, timbul idea tubuhkan satu kumpulan baru, dengan muzik yang lebih matang, serius dan mesra pendengar. Sejak itulah, masing-masing optimis memberikan yang terbaik bersama kumpulan baru.
“Meski sebelum ini kami boleh dikira sudah ada sedikit pengalaman bermain muzik, namun kami masih anggap Perajurit adalah band baru yang masih bertatih untuk mencari ruang. Maknanya, sudah pastilah kami perlu lebih gigih, pasang strategi tersendiri, lebih-lebih lagi single sulung, Kau & Aku baru sebulan dilancarkan.
“Bagi memastikan lagu tersebut mendapat maklum balas positif daripada pendengar, kami juga perlu rancakkan aspek promosi terhadap Kau & Aku,” katanya yang nyata berbesar hati apabila dipelawa untuk melakukan persembahan secara akustik di program The Stage, yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube Media Hiburan Official.
Rakam empat lagu
Berkongsi mengenai single pertama mereka secara lanjut, Kau & Aku adalah lagu yang berkisar mengenai perjalanan cinta di antara dua darjat yang tidak kesampaian.
Mengharapkan yang terbaik untuk single sulung, Perajurit juga sudah pun merakam tiga lagu lain yang bakal dilancarkan selepas ini.
“Kami rakam Kau & Aku pada awal Ramadan lalu. Selain lagu berkenaan, Perajurit turut merakam tiga lagu lain sebagai persediaan susulan. Kami rancang untuk lancarkan single demi single. Insya-ALLAH, selepas melihat sejauh mana keupayaan Kau & Aku dalam arus muzik kontemporari, kami sudah merancang untuk keluarkan single kedua pula. Kiranya ini merupakan antara projek tersendiri Perajurit.
“Sebab pada situasi sekarang yang terarah kepada digital, rasanya lebih baik untuk kami lancarkan single terlebih dahulu sebelum fikir untuk buat album solo.
Kalau nak diikutkan, kami akan lancarkan beberapa single lalu satukan ia di dalam satu album,”ujar Robot serius.
Menyifatkan Kau & Aku sebagai sebuah lagu cinta yang mesra pendengar, besar harapan mereka untuk melihat lagu ini dapat pergi jauh, seterusnya memperkenalkan Perajurit sebagai band muzik baru yang tidak boleh dipandang sepi.
Tak gentar bersaing
Melihat kepada persaingan, Robot mewakili ahli anggota lain tidak melihat itu sebagai satu penghalang untuk menempa nama. Apatah lagi, masing-masing hanya memperjuangkan muzik dan bakat.
“Itu bukan beban sebab masing-masing ada kelebihan sendiri dan misi kami hanyalah satu, mahu perjuangkan muzik Perajurit selain sokongan peminat," katanya yang menganggap Kau & Aku menjadi penanda aras mereka dalam seni.
Sementara itu, rakaman secara live session lagu Kau & Aku yang dimuat naik sejak sebulan lalu sudah pun boleh ditonton menerusi saluran YouTube dan Kau & Aku sudah boleh didapati di semua platform digital muzik.
Sumber Perajurit optimis dalam muzik