Pihak istana di Malaysia bantu pembebasan saya, kata Akyol

Penulis berkata pembebasannya 'dipermudahkan' oleh perhubungan antara bekas presiden Turki Abdullah Gul dan kerabat diraja Malaysia.

mustafa-akyol-gul-3

PETALING JAYA: Penulis terkemuka Mustafa Akyol berkata beliau dibebaskan dari tahanan pihak berkuasa Malaysia kerana campurtangan bekas presiden Turki Abdullah Gul yang menghubungi kerabat diraja Malaysia mengenai perkara itu.

Dalam kolum di New York Times semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Massachusetts, Amerika Syarikat, Akyol menceritakan kronologi pengalamannya, termasuk tangkapan dan penahanan semalaman kerana “mengajar agama Islam tanpa tauliah”.

“Akhirnya, saya terkejut, saya dibebaskan.

“Tidak lama kemudian saya dapat tahu pembebasan itu dipermudahkan oleh usaha diplomatik negara asalnya, Turki – terutamanya perhubungan antara bekas presiden Turki, Abdullah Gul, dengan kerabat diraja Malaysia,” katanya.

Kehadirannya ke Malaysia buat ke-5 kali ini, mendapat bantahan beberapa kumpulan Islam konservatif dan pihak berkuasa agama yang mendakwa beliau mengajar agama tanpa tauliah.

Akyol sebelum ini diberikan surat arahan untuk hadir ke pejabat Jawi di Kuala Lumpur, atas tuduhan “mengajar agama tanpa tauliah”, sebelum penganjur ditekan membatalkan sebuah forum yang turut menampilkan Akyol.

Jawi berkata, Akyol ditahan berdasarkan satu “aduan daripada orang ramai” berhubung ceramahnya dalam perbincangan meja bulat bertajuk “Does freedom of conscience open the floodgate to apostasy?” di Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur.

Akyol dalam kolum itu melaporkan beliau dilayan dengan baik sepanjang penahanan dan soal siasat tetapi kejadian itu bukti Islam hari ini mengalami “masalah besar”: “semangat untuk mengenakan agama, bukan sekadar mencadangkannya, iaitu pemikiran yang ditinggalkan ramai Kristian selepas Inquisition”.

Mengenang kembali sesi bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Akyol berkata seorang pegawai wanita di mahkamah syariah “dengan bangga” memberitahu “semua tindakan ini bagi melindungi agama”.

“Tetapi saya ada pesanan penting buat beliau (yang tidak saya kongsikan pada ketika itu): Apabila kamu mengawasi agama, pihak berkuasa sebenarnya tidak melindungi agama. Mereka hanya melemahkan masyarakat, membesarkan hipokrit dan menyebabkan orang ramai tidak percaya atau tidak menghormati Islam,” tulisnya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Pihak istana di Malaysia bantu pembebasan saya, kata Akyol

Post a Comment

Previous Post Next Post