PRU-14: Jentera BN Perak siap sedia

IPOH: Jentera Barisan Nasional (BN) Perak sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

"Dari segi persiapan di peringkat BN (negeri), saya boleh sebutkan kita sudah buat persiapan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Negeri Perak Ke-26 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya IPF negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden IPF merangkap Pemangku Pengerusi IPF Perak, Datuk M Sambathan.

Zambry berkata, beliau menghargai semangat kesetiaan dan sokongan pemimpin serta ahli IPF kepada BN walaupun beberapa permintaan mereka belum dapat ditunaikan.

"Ini antara sumber kekuatan kita di Perak di mana kekuatan seluruh anggota komponen BN dan rakan BN yang sentiasa bersama bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan Perak dalam genggaman BN," katanya.

Beliau berkata, sokongan kaum India terhadap BN di Perak sentiasa dalam kerangka positif malah semakin memuaskan.

Oleh kerana itu, katanya, BN melaksanakan pelbagai projek dan program bagi membantu masyarakat itu.

"Datuk Seri Najib (Razak) antara yang benar-benar serius memberi bantuan kepada masyarakat India. Kerajaan mahu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan struktur semula kehidupan mereka seperti terkandung dalam 'blue print' (pelan tindakan) masyarakat India.

"Begitu juga bantuan lain termasuk pembinaan sekolah, namun dalam konteks ini termasuk isu pemindahan sekolah, pembangkang khususnya wakil rakyat DAP kaum India ada yang ambil kesempatan memainkan isu berkenaan.

"Mereka nak tunjuk garang juga supaya boleh dipilih semula (jadi calon pilihan raya), kalau tidak (pemimpin) DAP tak pilih mereka.

"Ini politik mereka, tapi dalam konteks politik BN, kita ada tanggungjawab terhadap segala yang kita janji untuk kita laksanakan bagi masyarakat India," katanya.



Sumber PRU-14: Jentera BN Perak siap sedia

Post a Comment

Previous Post Next Post