JABATAN Hidupan Liar Sabah mengesahkan kejadian penemuan beberapa bangkai penyu terdampar di pantai di Pulau Bum-Bum, Semporna.
Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, pegawainya di Tawau mendapat pengesahan mengenai penemuan itu selepas menghubungi penduduk kampung di Pulau Bum-Bum.
Katanya, pihaknya menghubungi indvidu yang mengambil gambar bangkai penyu terbabit sehingga ia tersebar di media sosial, sejak semalam.
Beliau berkata, pegawai terbabit sudah diarah menjalankan siasatan lanjut di pulau itu termasuk pergi lokasi sebenar penemuan bangkai haiwan marin itu, hari ini.
“Ia adalah penyu hijau. Kami akan ke lokasi bagi membuat pengesahan dan menentukan berapa banyak penyu yang mati,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Gambar yang tersebar di laman sosial sejak semalam menunjukkan beberapa penyu dengan keadaan perutnya terburai dan terdampar di tepi pantai.
Pada awal 2014, kira-kira 60 bangkai penyu ditemui terapung di perairan Pulau Tiga, Kudat, manakala empat lagi ditemui terapung di Pulau Bum-Bum, Semporna.
Pada Mac 2015, pihak berkuasa menemui 19 bangkai penyu hijau di Pulau Tiga di utara Pulau Balambangan dan Banggi dekat perairan Kudat, dipercayai cuba diseludup secara hidup melalui laut, namun gagal berbuat demikian berikutan kekerapan rondaan pasukan keselamatan.
Sumber; Metro
Sumber “This is bad for all” – Beberapa bangkai penyu terdampar di tepi pantai dengan perut terburai di Pulau Bum-Bum, Semporna