KUALA LUMPUR, 31 Ogos ― Seorang bapa tidak mempedulikan kecaman selepas mendedahkan anak gadisnya terlibat sebagai pelayan pusat hiburan.
Datuk Shamsubahrin Ismail sanggup membuat aduan kepada jabatan agama Islam di sini semalam demi “memerangi habis-habisan maksiat”, lapor Harian Metro.
“Saya tahu ramai mengecam tindakan saya mendedahkan perilaku anak sendiri yang dikatakan memalukan ini namun sudah lama saya memberi peluang kepada dia, tetapi tidak diendahkan,” katanya.
“Malah saya turut menerima mesej daripada rakan anak yang mengatakan tindakan diambil memalukan anak sendiri, tetapi saya tidak peduli kerana demi anak gadis Islam di negara ini saya sanggup berjuang habis-habisan melawan maksiat.”
Anaknya, yang tidak dinamakan, dilaporkan terlibat sebagai “duta kelab”, nama lain bagi pegawai hubungan pelanggan (GRO) di kelab-kelab malam.
Shamsubahrin, ahli perniagaan yang sebelum ini dikenali aktif bersama persatuan teksi, berkata beliau akan “menggempur” beberapa jabatan lain dalam usahanya itu.
“Saya sudah ‘kehilangan’ anak gadis yang memilih jalan hidupnya sendiri. Saya tidak mahu ibu bapa lain juga menerima nasib yang sama,” katanya.
Akhbar itu sebelumnya melaporkan gadis 20 tahun itu berhenti belajar setelah tertarik dengan kegiatan tersebut yang menawarkan gaji lumayan.
Sumber: Malay Mail
Sumber Walaupun dikecam tapi demi perangi maksiat, Datuk Shamsubahrin dedah anak jadi GRO