Walaupun kami tidak dapat melihat, kami ada hati untuk memahami - Ahmad Fikri

KUALA LUMPUR: "Walaupun kami tidak nampak, tetapi kami ada telinga untuk mendengar, tangan untuk merasa dan hati untuk memahami," itu yang diungkapkan penjaring gol kemenangan negara, Ahmad Fikri Omar selepas membantu Malaysia meraih pingat gangsa acara bola sepak lima sebelah Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai ikhtiar hidup serta motivasi yang menjadi sandaran sebagai seorang atlet buta dalam perjuangan demi mengangkat nama tanah air tercinta di persada dunia selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Malaysia menundukkan Vietnam 1-0.

Pada perlawanan penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, Ahmad Fikri muncul wira selepas mempamerkan ketenangan luar biasa sewaktu menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung permainan untuk mengesahkan kemenangan skuad negara.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil sepakan itu, sebaliknya beliau yakin mampu memikul tanggungjawab besar tersebut meskipun menyedari berdepan penjaga gol lawan yang boleh melihat (atlet normal).

"Saya gembira dengan kemenangan ini, namun mujur kami diberikan sepakan penalti di hujung perlawanan selepas gagal menjaringkan gol setelah bermain dengan baik dan mencipta peluang jaringan yang banyak.

"Saya memang yakin untuk ambil penalti pada awalnya tetapi tidak mahu terburu-buru, namun bila ada rakan sepasukan termasuk kapten yang menjerit nama saya dan menyuruh saya ambil, saya tidak teragak-agak tampil dan menyempurnakan gol itu," ujar Ahmad Fikri.

Sementara itu, Ketua Jurulatih negara M. Shalesh menyifatkan perlawanan hari ini adalah lebih sukar jika dibandingkan sewaktu pertemuan kedua-dua pasukan di peringkat kumpulan, dengan kemenangan 3-0 berpihak kepada pasukan negara.

Menurut beliau, suhu tinggi akibat cuaca panas terik menjadikan perlawanan itu semakin sukar selain taktikal pasukan lawan yang bermain secara bertahan menjadi faktor kegagalan anak buahnya mengulangi persembahan terbaik ketika di peringkat kumpulan.

"Kemenangan yang begitu susah, sebab sebelum ini kita pernah kalahkan Vietnam 3-0. Tetapi saya sudah menjangkakan satu pertarungan sengit kerana kedua-dua pasukan akan bermain bersungguh-sungguh. Mereka juga menggunakan taktikal bertahan selepas mengetahui kekuatan kita.

"Faktor cuaca juga mempengaruhi keputusan hari ini apabila mereka (pemain) kelihatan sangat letih kerana bermain dalam keadaan cuaca yang panas terik. Bagaimanapun saya rasa pasukan Malaysia yang paling menghiburkan sepanjang temasya ini," katanya.

Dalam pada itu, pingat emas acara tersebut menjadi milik pasukan Thailand selepas menjinakkan Laos 3-0 dalam perlawanan penentuan pingat emas.

-- BERNAMA



Sumber Walaupun kami tidak dapat melihat, kami ada hati untuk memahami - Ahmad Fikri

Post a Comment

Previous Post Next Post