KUALA LUMPUR, 4 Okt — Sebanyak 46 ekor kucing hari ini diselamatkan oleh sepasukan polis daripada dikurung dan terabai di sebuah apartmen di Bandar Baru Sentul di sini, ekoran aduan kelab pencinta kucing yang mengesyaki seorang lelaki, memperguna kucing-kucing itu untuk mendapatkan wang.
Pengerusi Sahabat Kucing Jalanan, Mohd Rosli Mohd Ariffin berkata beliau dan sekumpulan orang ramai mengesyaki lelaki menganggur itu mengumpan kucing-kucing berkenaan melalui laman Facebooknya untuk mendapatkan sumbangan kewangan, kononnya bagi membeli makanan dan merawat kucingnya yang sakit.
Berikutan itu, beliau semalam membuat laporan polis di Balai Polis Sentul.
Hari ini beliau dan rakan-rakan bersama sekumpulan anggota polis pergi ke rumah lelaki berumur 41 tahun itu,kira-kira 11.45 pagi dan mendapati kesemua kucing berkenaan terkurung di dalam beberapa sangkar dalam keadaan tidak terurus.
“Sangat menyedihkan apabila melihat kucing-kucing itu dikurung di dalam sangkar kecil di dapur rumah dengan keadaan yang tidak terurus dan berbau busuk. Hampir keseluruhan kucing itu dijangkiti ‘Sporo’ dan mengalami demam,” katanya kepada pemberita di sini.
Penyakit Sporotrichosis atau dikenali sebagai “Sporo”, katanya, disebabkan oleh fungus yang berasal daripada persekitaran tanah, tumbuhan dan spesies haiwan.
Menurut Mohd Rosli, pemilik kucing itu memuat naik status dan video kucingnya sejak beberapa bulan lalu dalam beberapa laman Facebook berkaitan kucing dan meminta bantuan kewangan.
Seorang netizen yang turut mengesyaki perbuatan lelaki telah menyatakan dalam sebuah ruangan komen Facebook bahawa lelaki itu seorang penipu kerana memiliki 23 akaun Facebook dan menggunakannya untuk ‘menjual’ çerita kucing-kucingnya.
Bernama bersama wakil media lain yang turut serta ke rumah lelaki itu mendapati persekitaran luar dan di dalam apartmen aras dua bangunan empat tingkat itu dipenuhi dengan sampah sarap dan kelihatan wayar elektrik dan timbunan kabel Astro berselirat di ruang tamu unit apartmen itu.
Polis mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk lelaki berkenaan supaya menyerahkan kucing-kucing tersebut.
Sementara itu, lelaki berkenaan yang mendakwa sayangkan semua kucingnya, berkata beliau tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah sejak ibunya meningggal dunia April lalu.
Katanya, beliau membela kucing sejak beberapa tahun lalu dan jumlah kucing yang dibela semakin bertambah sebagai temansejak ibunya meninggal dunia.
“Rumah saya sempit...saya tidak ada tempat lain untuk tempatkan kucing-kucing ini. Saya tidak dera, cuma saya tidak mampu merawat kucing yang sakit sebab saya tiada duit,” katanya dan menambah, sebab itu beliau bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menyara kucing-kucing berkenaan.
Seorang jiran lelaki itu memberitahu pemberita bahawa sebelum ini ada jiran yang telah membuat aduan kepada pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai keadaan di apartmen itu kerana tidak tahan dengan bau busuk di situ.
Sementara itu seorang anggota Kelab Pencinta Kuching Malaysia Datuk Leen Mustafa, 38, yang ditemui bersama pasukan polis di apartmen itu, berkata sebahagian daripada kucing-kucing yang diselamatkan itu kini ditempatkan sementara di sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan ‘hotel kucing’.
Kelab Sahabat Kucing Jalanan pula telah mendapatkan bantuan rawatan untuk kucing-kucing yang kurang sihat dan berpenyakit, katanya.
“Kami sedang mengumpul dana untuk membiayai kos rawatan kucing-kucing itu,” jelas beliau.
Orang ramai yang ingin menyumbang bantuan kewangan boleh menghubungi Kelab Pencinta Kuching melalui Leen di talian 019-3999962.—Bernama
Sumber 46 ekor kucing terabai, dikurung di Sentul diselamatkan