BAGI peminat majalah kartun tempatan, pasti masih ingat majalah Ujang yang mencapai tahap kegemilangannya pada tahun 1990-an. Bagaimanapun, kini majalah itu sudah pun berkubur bersama-sama watak Ujang itu apabila syarikat penerbitannya, MOY Publications sudah dibubarkan.
Sekali lagi Ibrahim Anon atau nama penanya, Ujang telah dipergunakan oleh sebuah syarikat animasi yang menggunakan perkhidmatannya tanpa diberi sebarang bayaran.
Sudah tidak mampu menahan amarahnya lagi, Ujang telah memuat naik satu status tidak puas hati di akaun Facebook miliknya mengenai syarikat Funcel Sdn. Bhd. yang dikatakan telah mempergunakannya bagi kepentingan syarikat mereka.
Ujang telah menunjukkan satu gambar milik Azrul Baharom, pengasas syarikat Funcel yang telah ditubuhkan pada tahun 1999 sebagai produksi animasi di Malaysia.
Pada tahun 2009 yang lalu, Ujang telah mengeluarkan Kompilasi Intelligents Blues Club (IBC),merupakan kompilasi majalah Ujang yang telah diadaptasikan dalam bentuk animasi dibawah produksi Hybrid Creative Evolution Sdn. Bhd.
Difahamkan sejumlah wang bernilai RM1.6 juta telah diterima oleh syarikat itu bagi memulakan projek. Selain itu, RM1 juta lebih telah dibayar oleh Radio Televisyen Malaysia(RTM) yang telah bersetuju untuk membeli siri kartun itu sebanyak 26 episod.
Sebanyak 10% daripada jumlah yang telah dibayar oleh pihak RTM sudah pun dijanjikan untuk dibayar oleh syarikat Hybrid Creative Evolution Sdn.Bhd kepadanya. Namun setelah hampir enam tahun berlalu, tiada sebarang habuan diterima oleh Ujang.
Pelbagai alasan telah diberikan oleh Azrul setiap kali ditanya mengenai wang bayaran tersebut. Ujang juga telah disekat oleh Azrul daripada melihat akaun Facebooknya.
Namun, tengahari tadi Ujang telah meminta pengguna Facebook yang lain untuk membantunya meninggalkan komen di ruangan Facebook Azrul supaya segera membayar wang itu kerana dia sendiri sudah tidak punyai wang bagi membayar sewa rumahnya.
Pada Mei yang lalu, Ujang telah menerima nasib yang sama selepas dipecat daripada menjadi penasihat animasi untuk syarikat Les’Copaque Production Sdn Bhd yang menerbitkan siri Upin & Ipin.
Penafian yang telah dibuat oleh pengarah syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Haji Burhanuddin Md Radzi benar-benar tidak dapat diterima oleh masyarakat dan Ujang sendiri.
Beginikah nasib kartunis negara kita? Karyanya dulu sering dijulang, namun mengapa selepas kejadian pemberhentian penerbitan majalah Ujang, semua masalah mula timbul?
Ada pula pihak lain yang mengambil kesempatan di atas bakat orang lain.
Diharapkan selepas ini pihak disebelah sana akan mengeluarkan kenyataan jika mereka berada di pihak yang betul. Sama-sama kita nantikan maklum balas ekoran isu ini.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Sumber “Dah dokek 6 tahun berlalu sampai aghini tak setel-setel. Memandang kan bulan ni den dah tahap tak dapek nak bayar sewo ghumah…..adokah sosuai kalau den adukan pekagho ni pado PPIM”- Ujang