KUALA LUMPUR: Pasukan remaja England bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Sepanyol 5-2 dalam aksi final Piala Dunia Bawah 17 tahun yang berlangsung di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India sebentar tadi.
Dua gol Sergio Gomez di babak pertama perlawanan jelas menyentak semangat England namun penjaring terbanyak kejohanan, Rhian Brewster pada minit ke-44 jelas memberi tonik berharga buat pasukan kendalian Steve Cooper untuk kembali bangkit dalam misi memburu kejuaraan pertama mereka.
Morgan Gibbs White menambah gol buat England pada minit ke-58 untuk menyamai kedudukan sebelum Philip Foden meletak the Three Lions mendahului perlawanan selang 11 minit kemudian.
RHIAN Brewster (kanan) meraikan jaringan ketika membantu England menewaskan Sepanyol 5-2 pada aksi final di StadiumVivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India. - Foto EPA-EFE
PEMAIN Sepanyol, Gelabert diasak kapten England, Joel Latibeaudiere pada aksi final Piala Dunia bawah 17 tahun, sebentar tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Sepanyol, Sergio Gomez (kiri) menanduk masuk gol ketika aksi final menentang England, sebentar tadi. England menang 5-2. - Foto EPA-EFE
England jelas lebih bersemangat apabila Marc Guehi menambah derita naib juara 2007 itu pada minit ke-84 manakala Foden merekodkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu selang empat minit kemudian sekali gus membenarkan mereka untuk meraih gelaran pertama selepas tiga penampilan di kejohanan berkenaan.
Terdahulu, Brazil meraih tangga ketiga apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas Mali.
Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan meskipun Mali mempamerkan corak serangan bagi memburu gol pembukaan permainan namun setiap percubaan juara Afrika itu berjaya dikekang penjaga gol Brazil, Gabriel Brazao.
Bermula di babak kedua, Alan berjaya membuka tirai jaringan dan menemui gol kedua menerusi pemain simpanan Yuri Alberto.
Ini adalah kali kedua pasukan dari Selatan Amerika itu menamatkan kejohanan Piala Dunia b-17 di kedudukan ketiga.
Sumber England juara Piala Dunia B-17