Harga barang ambil kira banyak faktor

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak berkaitan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebaliknya disebabkan pelbagai faktor sekeliling.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz, berkata input membabitkan penetapan harga barang bukan semata-mata mengambil kira soal cukai.

Malah turut dipengaruhi faktor seperti pertukaran mata wang asing, aspek pemasaran, minyak dan kos pengangkutan dan pengedaran.

Justeru, katanya kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak boleh dikaitkan atau berpunca daripada pelaksanaan GST yang bermula sejak 1 April 2015.

"Tak boleh kita nak kata GST adalah punca harga naik...Ada barang yang tidak dikenakan GST juga naik. Banyak faktor lain yang mempengaruhi harga barang.

"Oleh itu, kerajaan sentiasa memantau situasi ini (kenaikan harga barang dan perkhidmatan) agar tidak terlalu membebankan rakyat," katanya, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Loke Siew Foke (DAP-Seremban) pelaksanaan rejim percukaian GST punca kenaikan harga barang sehingga membebankan rakyat di negara ini.

Othman berkata, isu membabitkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan sentiasa menjadi perhatian kerajaan.

Katanya, kerajaan menerusi pelbagai inisiatif seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan skim bantuan pekebun kecil dan bantuan kepada nelayan disalurkan demi membantu meringankan beban rakyat di negara ini.

Berhubung kefahaman GST, beliau berkata berdasarkan pemerhatian lebih tiga tahun cukai itu dilaksanakan, tahap kefahaman masyarakat lebih baik dan tiada isu kritikal yang dibangkitkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Trend ini boleh dilihat melalui aduan yang diterima JKDM, iaitu mengalami pengurangan pada 2016 berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi 2016, JKDM mencatatkan sebanyak 1,235 aduan sahaja berbanding 2015 iaitu 6,830 aduan.

"Jumlah aduan dilihat semakin berkurangan tahun ini, iaitu sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 185 aduan sahaja diterima JKDM," katanya.



Sumber Harga barang ambil kira banyak faktor

Post a Comment

Previous Post Next Post