JITN ‘tangan ghaib’ kawal SPRM — Mohd Shahiran Asemari

2 OKTOBER — Merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada siri dialog 'TN50: Melangkah ke Hadapan Meneruskan Agenda Integriti Negara', bersama Institut Integriti Malaysia berkenaan cadangan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang telah mendapat kelulusan pada peringkat awal kabinet.

Biro Lapor dan Cegah Rasuah (LCR) Perkasa Malaysia menyelar cadangan penubuhan JITN yang disifatkan akan melemahkan tugas dan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani gejala rasuah dalam negara ini.

Di samping itu, LCR melihat penubuhan ini mempunyai agenda politik disebabkan tindakan SPRM yang semakin agresif dalam menangani gejala rasuah. JITN ini akan menjadi tangan ghaib untuk orang yang berkuasa bagi mengawal SPRM.

Selain itu, LCR senada dengan ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang menganggap cadangan penubuhan JITN ini satu pembaziran dan sepatutnya dana ini disalurkan ke agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Selain itu juga, LCR mendesak supaya kerajaan menunaikan janji kepada SPRM untuk menambah bilangan anggota seramai 150 orang setahun sehingga mencapai 5000 anggota. Janji ini telah dibuat semenjak tahun 2012 lagi.

Malangnya, sampai hari ini janji itu masih lagu belum ditunaikan. Amat tidak masuk akal, bilangan anggota SPRM seramai 2,100 orang untuk menjaga 32 juta rakyat Malaysia dan nisbahnya jatuh kepada 1 orang anggota untuk 15,000 rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, LCR menganggap kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang umpama orang tiada akal kerana membuat tuduhan liar terhadap SPRM. Sepatutnya Lim merujuk kenyataan Low pada 23 November 2015, yang meletakkan kes 1MDB bawah bidang kuasa polis, bukannya bawah bidang kuasa SPRM.

Jika Lim ikhlas dalam memerangi gejala rasuah, beliau sepatutnya menyokong penuh usaha SPRM yang agresif dalam menyiasat kes rasuah secara menyeluruh. SPRM bertindak bebas dan tidak memilih bulu, ini terbukti apabila pihak SPRM menyiasat seorang exco kerajaan negeri Johor dan bekas pengerusi Felda Global Ventures (FGV).

Akhir kata, LCR menyokong penuh tindakan dan usaha SPRM dalam membasmi gejala rasuah. LCR berjanji akan terus menyokong selagi SPRM bertindak dan menjalankan tugas dengan betul.

Kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad atas tindakan agresif SPRM selepas beliau dilantik untuk menerajui SPRM.

LCR Perkasa juga dengan tegas menyatakan harapan semoga usaha dan matlamat memerangi dan membasmi rasuah mesti dilaksanakan secara telus tanpa memilih bulu, sama ada ikan jerung atau ikan bilis.

LCR Perkasa juga terus mendesak agar diwujudkan secera jabatan pendakwaan berasingan daripada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ketelusan pendakwaan dan ia diletakkan bawah pengawasan Parlimen.

* Mohd Shahiran Asemari, seorang ahli Dewan Tertinggi Perkasa, adalah juga pengerusi Biro Cegah dan Lapor Rasuah (CLR) Perkasa.

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.



Sumber JITN ‘tangan ghaib’ kawal SPRM — Mohd Shahiran Asemari

Post a Comment

Previous Post Next Post