Kenapa atlet masih ambil mudah isu doping?

KUALA LUMPUR: Semalam dunia sukan tempatan sekali lagi dikejutkan dengan insiden penggunaan bahan terlarang oleh atlet negara.

Menurut laporan, tiga atlet didapati positif menggunakan bahan terlarang dan salah seorang daripadanya adalah atlet Malaysia yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA ke-29 yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos lepas.

Tidakkah mereka belajar daripada kes-kes doping berprofil tinggi yang melibatkan atlet Malaysia sebelum ini?

Tidakkah mereka terkesan dengan apa perlu dilalui jaguh badminton negara Datuk LeeChong Wei; juara bina badan Sazali Samad dan juga Tai Cheau Xuen, yang terpaksa melepaskan pingat emas acara wushu Sukan Asia Incheon pada 2014?

Jika disabitkan kesalahan menggunakan bahan terlarang, ia akan memberi kesan psikologi dan boleh menjejaskan prestasi atlet itu sendiri.

"Isu doping sesuatu yang sukar...saya pernah kena semasa di Kejohanan Dunia di Copenhagen," kata Chong Wei.

"Saya faham perasaan dia sekarang. Ini berita yang bukan mudah diterima...dia tentu merasa tertekan.Saya harap dia terus cekal dan tidak putus asa," kata pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu (setakat 28 Sept).

Sudah semestinya berita diterima semalam menjadi tamparan hebat kepada Malaysia, selaku tuan rumah yang mahu menjadikan temasya sukan dianjurkan negara selepas 16 tahun itu sebagai suatu kejayaan dan bebas penggunaan bahan terlarang.

Selaku tuan rumah, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), mengharapkan atlet negara dapat mengulangi pencapaian mereka di temasya Sukan SEA Singapura pada 2015 di mana tiada sesiapa yang diuji positif.

Sebelum Sukan SEA berlangsung, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sudahpun melaksanakan ujian doping secara rawak terhadap atlet yang bakal menggalas cabaran negara, namun ia terpalit juga dengan insiden berulang itu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, mengesahkan atlet negara yang dilaporkan positif ujian doping itu meminta pemeriksaan dilakukan pada sampel B sebelum tampil di hadapan Jawatankuasa Pendengaran Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).

Jika didapati bersalah berdasarkan ujian sampel B yang dilakukan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) itu, pingat yang dimenangi atlet berkenaan akan ditarik balik oleh SEAGF.

Selain itu, atlet berkenaan berdepan hukuman berat iaitu digantung selama empat tahun seperti yang ditetapkan WADA.

-- BERNAMA



Sumber Kenapa atlet masih ambil mudah isu doping?

Post a Comment

Previous Post Next Post