KPN: Pesta F&B Jerman risiko serangan ala Vegas

Polis akan mematuhi keputusan Majlis Perbandaran Klang sekiranya pesta itu dibenarkan dan akan mengawal keselamatan kawasan itu.

fuzi-vegas

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun hari ini mempertahankan bantahan polis terhadap penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman di Klang, terutamanya dengan kejadian tembakan di Las Vegas yang menyaksikan 59 orang terbunuh.

“Anda tengok apa yang berlaku di Vegas. Walaupun kejadian itu bukan tindakan pengganas, ia boleh berlaku di negara ini,” katanya kepada FMT.

Dalam kejadian itu, Stephen Craig Paddock, 64, menyeludup senjata api ke dalam sebuah hotel di Las Vegas dan menembak pengunjung sebuah konsert dari biliknya, membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dan mencederakan lebih 500 yang lain.

Exco Selangor Teng Chang Khim dilaporkan akhbar theSun Daily sebagai berkata pihak berkuasa tempatan sudah memberikan kebenaran kepada pesta F&B itu diteruskan.

Beliau berkata penganjur sudah menerima permit menganjurkan acara itu daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 28 September.

Fuzi bagaimanapun mempertahankan amaran mengenai ancaman keselamatan dalam nasihat polis kepada MPK meminta acara itu tidak dibenarkan berlangsung.

Fuzi berkata sekiranya MPK mengambil risiko dan membenarkan pesta itu, polis akan mematuhi keputusan tersebut dan akan mengawal keselamatan kawasan itu.

“Memang ada ancaman dan siapa akan bertanggungjawab kalau apa-apa berlaku?

“Ini bukan perkara politik, ini perkara keselamatan.

“Apabila ada ancaman dan mereka tidak menerima nasihat kami, itu tidak bagus.”

Beliau mempersoalkan sikap pihak berkuasa tempatan sekiranya tidak mendengar nasihat polis mengenai ancaman keselamatan.

“Kalau mereka tidak dengar nasihat kami, mereka akan dengar nasihat siapa dan bergantung kepada siapa?” katanya.

Pesta F&B Jerman dijadualkan berlangsung di sebuah pusat membeli belah di Klang pada 12 dan 13 Oktober.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mazelan Paijan sebelum ini berkata polis tidak akan membenarkan acara itu diadakan.

“Polis sehingga kini juga belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur dan sekiranya ada pihak mendakwa sudah dapat kelulusan, itu adalah surat kebenaran palsu,” katanya.

Sebelum ini, MPK membenarkan penganjuran acara itu dengan syarat penganjur mematuhi syarat tertentu termasuk melarang penyertaan orang Islam dan mendapatkan permit polis.

Festival “Better Beer” 2017 yang sepatutnya diadakan bulan ini dibatalkan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit penganjur yang mahu mengadakan acara itu di Galeri Beli Belah Publika.

DBKL menolak permohonan itu meskipun acara itu pernah diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber KPN: Pesta F&B Jerman risiko serangan ala Vegas

Post a Comment

Previous Post Next Post