Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihak berkuasa menangani sebarang ancaman jenayah di kawasan kediaman mereka.
"Saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan notis kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memantapkan pemahaman dan meningkatkan kesedaran masyarakat agar membuat laporan sekiranya melihat sesuatu yang mencurigakan.
"Kita mesti berhati-hati dan lebih berwaspada serta melaporkan kepada pihak berkuasa sebagai tindakan awal (bagi mencegah insiden yang tidak diingini berlaku)," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Ayer Keroh di sini pada Rabu.
Khamis lepas, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, 250 penduduk di kampung tersebut diarahkan mengosongkan kediaman mereka oleh pihak bomba atas faktor keselamatan.Sementara 50 mangsa termasuk anggota pihak berkuasa dikejarkan ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin kerana mengalami sesak nafas dipercayai selepas terhidu gas klorin.
Dalam kejadian tersebut, tujuh tong ditemui dibuang di kawasan rumah yang ditinggalkan di kampung berkenaan, sebelum satu daripada tong itu bocor dan mengeluarkan bahan kimia dipercayai klorin.
BACA: Kebocoran gas: Polis panggil syarikat pemilik tong klorin
BACA: Kebocoran gas: Tujuh tong klorin dipindahkan - bomba
Pada Selasa, enam individu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek sedang diburu pihak polis.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata sebuah kilang yang menjalankan perusahaan kulit tauhu di Rembia, Alor Gajah dekat sini berhadapan risiko ditutup berikutan gagal mematuhi peraturan dan tidak menepati spesifikasi ditetapkan.
"Saya telah mengarahkan pegawai terlibat agar kilang yang sudah lama beroperasi itu ditutup sementara proses pemutihan dijalankan. Kita tidak mahu apa yang berlaku di Pulau Pinang berlaku di Alor Gajah," katanya.
-- BERNAMA
Sumber Langkah tegas pastikan kes kebocoran gas klorin tidak berulang