Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nazri Awang Abad, 27, yang berasal dari Kampung Tengah, Bongawan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari arah pusat bandar menuju ke rumahnya di Bongawan sebelum terlibat dalam kemalangan itu.Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman berkata, siasatan awal mendapati sebaik sahaja mangsa tiba di lokasi kejadian, muncul sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun lalu merempuh mangsa.
“Kereta Perodua Axia dipandu lelaki itu gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang motosikal mangsa hingga mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Tambah George, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu perodua axia itu yang disyaki mengekori rapat motosikal mangsa sehingga berlakunya rempuhan berkenaan.
“Pemandu Perodua Axia itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber Lelaki maut, motosikal dirempuh kereta