Majlis perpisahan Nuan Nuan, Khamis ini

KUALA LUMPUR: Nuan Nuan, anak kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang lahir di Zoo Negara dijangka dihantar pulang ke China, bulan depan.

Ketua Perhubungan Awam Zoo Negara, Nazirul Aiman Abd Aziz, berkata Malaysia hanya diberikan hak untuk menyimpan anak panda yang kini mencapai berat hampir 90 kilogram itu untuk tempoh dua tahun selepas lahir.

Katanya, Zoo Negara merancang untuk menghantar Nuan Nuan pulang ke negara asalnya selepas mamalia berkenaan mencapai umur genap dua tahun, pada 18 Ogos lalu.

"Bagaimanapun, perancangan itu terpaksa ditangguhkan sehingga kini kerana kita tidak mendapat tarikh penghantaran pulang daripada Kerajaan China," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Nuan Nuan ialah anak pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang, yang dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun oleh Kerajaan China.

Kedua-dua spesies panda gergasi yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Wa dan Feng Yi ketika berada di China, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014, bersempena hubungan diplomatik 40 tahun kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Nazirul berkata, majlis perpisahan Nuan Nuan ditetapkan pada Khamis ini, sebelum anak panda gergasi itu menjalani beberapa proses penghantaran pulang.

Katanya, ia termasuk fasa pemisahan dengan ibu dan bapanya untuk tempoh sebulan sebelum tarikh penghantaran pulang ke China.

"Kita sudah mula memisahkan Nuan Nuan daripada ibu bapanya secara berperingkat-peringkat, iaitu untuk tempoh setengah hari pada waktu siang.

"Cuma pada waktu malam kita kena kembalikan Nuan Nuan kerana anak panda gergasi ini akan 'bising' kerana tidak boleh tidur tanpa berada di sisi ibunya.

"Proses pemisahan ini turut dibantu oleh tenaga pakar yang didatangkan khas dari China, setiap enam bulan bagi meneliti penjagaan kesihatan dan pertumbuhan panda gergasi," katanya.



Sumber Majlis perpisahan Nuan Nuan, Khamis ini

Post a Comment

Previous Post Next Post